LIVERPOOL, 8 MEI – Jurgen Klopp berkata Liverpool tidak boleh berputus asa dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana selepas seri 1-1 menentang Tottenham walaupun mengakui sukar mengharapkan Manchester City tercicir mata.
Skuad kendalian Klopp kini mendahului City dengan perbezaan gol selepas keciciran mata di Anfield buat kali pertama sejak Februari.
Tetapi juara Inggeris itu kini mampu untuk terikat seri daripada baki empat perlawanan mereka dan masih mengekalkan gelaran mereka.
Anak buah Pep Guardiola boleh merampas semula kedudukan teratas dan melebarkan jurang kepada tiga mata apabila mereka melayan kunjungan Newcastle di Etihad malam ini.
Keputusan seri itu meletakkan Tottenham hanya satu mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat, tetapi peluang mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas kini juga bergantung kepada Gunners jika Arsenal tercicir mata dalam dua daripada empat perlawanan terakhir mereka.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P22-1a_09052022-1.jpg)
Son Heung-min melengkapkan aksi cemerlang Spurs apabila meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-56.
Rembatan melencong Luis Diaz berjaya menyamakan kedudukan 16 minit sebelum tamat masa permainan, tetapi Liverpool tetap gagal mencari gol kemenangan.
Sebanyak 21 mata memisahkan kedua-dua pasukan, tetapi Spurs telah membiasakan diri untuk menyelamatkan yang terbaik untuk perlawanan yang lebih besar.
Anak buah Conte tidak pernah tewas dalam semua empat pertemuan dengan City dan Liverpool musim ini.
Manakala Liverpool, yang telah menjuarai Piala Liga musim ini, akan menentang Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu depan dan final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid untuk Piala Eropah di Paris pada 28 Mei nanti. – AFP