Friday, February 21, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool terikat seri lawan Villa

    BIRMINGHAM, 20 FEB – Usaha Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris mengalami sedikit halangan selepas keputusan seri 2-2 yang mendebarkan menentang Aston Villa semalam, meninggalkan kedua-dua pasukan tanpa kepuasan.

    Pasukan kendalian Arne Slot kini mempunyai kelebihan lapan mata di puncak liga berbanding Arsenal di tempat kedua, namun The Gunners masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

    Liverpool mendahului menerusi Mohamed Salah, tetapi terpaksa bangkit selepas Youri Tielemans dan Ollie Watkins mengubah momentum memihak kepada Villa.

    Tendangan Trent Alexander-Arnold yang terkena pemain lawan memastikan satu mata untuk pasukan pelawat, namun mereka sepatutnya memperoleh lebih banyak apabila pemain gantian Darwin Nunez mensia-siakan peluang keemasan untuk meraih kemenangan.

    “Awda boleh faham bahawa ada seorang pemain di bilik persalinan yang berasa amat kecewa,” kata Slot mengenai kegagalan Nunez dalam situasi penting itu.

    “Jika awda menonton kembali perlawanan, kami mencipta jauh lebih banyak peluang berbanding mereka, kami melakukan segala yang perlu. Satu-satunya perkara yang tidak sempurna ialah melepaskan gol menerusi situasi bola mati.”

    Villa juga hampir meraih kemenangan di masa kecederaan apabila Morgan Rogers dan Donyell Malen hampir menjaringkan gol.

    Satu mata tidak banyak membantu harapan Villa untuk kembali ke Liga Juara-juara musim depan, kerana mereka kekal di kedudukan kesembilan liga.

    Liverpool kini mencatatkan 22 perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kalah, tetapi selepas melepaskan gol lewat ketika menentang seteru tempatan Everton, keputusan seri 2-2 kedua dalam tempoh lapan hari memberi harapan kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan.

    Pasukan Slot juga bakal menghadapi perlawanan sukar menentang Manchester City pada Ahad ini. – AFP

    Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Aston Villa dan Liverpool di Villa Park, Birmingham, England, pada 19 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda