Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool tumpas di tangan AC Milan

    HONG KONG, 27 JULAI – Bekas pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek menjaringkan satu gol ketika juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool tewas 4-2 kepada AC Milan dalam aksi persahabatan pramusim di Hong Kong, Sabtu lalu.

    Liverpool, yang menurunkan pemain termahal mereka Florian Wirtz buat pertama kali dalam kesebelasan utama, menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium Kai Tak.

    Namun, barisan pertahanan mereka yang goyah dihukum oleh serangan balas Milan untuk keempat-empat jaringan.

    Rafael Leao membuka tirai jaringan untuk kelab Itali itu pada minit ke-10, sebelum rembatan cantik Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan 16 minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

    Namun, gol daripada Loftus-Cheek serta dua jaringan pemain gantian Noah Okafor diapit satu tandukan lewat oleh Cody Gakpo memastikan kemenangan milik AC Milan.

    Pengurus Liverpool, Arne Slot berkata masih terdapat beberapa perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini, tetapi mengakui pasukannya perlu memperbaiki kelemahan sebelum aksi kompetitif pertama musim ini menentang Crystal Palace dalam Perisai Komuniti pada 10 Ogos.

    “Saya melihat beberapa perkara yang baik,” katanya kepada wartawan, merujuk khusus kepada separuh masa pertama apabila kesebelasan utama Liverpool mencipta banyak peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol. Slot melakukan sembilan pertukaran selepas rehat, dan barisan pertahanan yang dirombak itu kerap kali dicerobohi pihak lawan. – AFP

    Aksi semasa perlawanan persahabatan antara AC Milan dan Liverpool di Stadium Kai Tak, Hong Kong pada 26 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda