Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool yakin hadapi PSG dalam aksi Liga Juara-Juara

    LONDON, 4 MAC – Arne Slot menegaskan Liverpool tidak gentar beraksi di Parc des Princes ketika pasukannya bersiap sedia menghadapi pertembungan blokbuster di Liga Juara-Juara menentang pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

    Skuad kendalian Slot akan mengambil langkah seterusnya dalam usaha memburu kejuaraan Liga Juara-Juara pertama sejak 2019, apabila mereka bertemu PSG dalam aksi pertama kelompok 16 terbaik Rabu ini.

    Juara Eropah enam kali itu tewas dalam kedua-dua kunjungan terdahulu ke PSG, pada tahun 1997 dan 2018.

    Namun, Liverpool hanya mengalami empat kekalahan dalam semua pertandingan musim ini, dengan satu-satunya kekalahan dalam Liga Juara-Juara adalah ketika menentang PSV Eindhoven, dalam perlawanan terakhir peringkat liga, setelah mereka sah layak ke kelompok 16 terbaik.

    The Reds mengungguli peringkat liga dengan tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan, termasuk kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan, Real Madrid. Mereka juga mempamerkan dominasi di peringkat domestik, menerajui Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 13 mata, sebahagian besarnya hasil aksi cemerlang penyerang Mesir, Mohamed Salah.

    Liverpool juga berpeluang meraih trofi pertama di bawah Slot apabila mereka berdepan Newcastle dalam final Piala Liga di Wembley pada 16 Mac. Dengan 20 kemenangan liga, Liverpool menjadi pasukan paling banyak mencatat kemenangan dalam lima liga utama Eropah musim ini.

    Selepas prestasi sedikit menurun, Liverpool kembali menemui rentak dengan kemenangan 2-0 ke atas Manchester City dan Newcastle, membawa mereka semakin hampir ke gelaran Liga Perdana ke-20 yang menyamai rekod. Rehat hujung minggu lalu akibat penyingkiran awal dari Piala FA turut memberi mereka kelebihan menjelang pertembungan dengan PSG.

    “Adakah kami gentar kepada PSG? Kami tidak takut kepada sesiapa. Tetapi saya kagum dengan kualiti mereka, mereka berada di puncak prestasi yang hampir sama dengan kami ketika ini,” kata Slot. – AFP

    Jurulatih Liverpool, Arne Slot, menghadiri sidang media sebelum perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA, pada 9 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda