Pelakon Liyana Jasmay memasang impian menerbitkan lebih banyak drama mengangkat kisah tentang kehidupan remaja perempuan sepanjang 2025.
Ini kerana kata Liyana, 37, dia sudah bosan menonton drama rantaian memaparkan jalan cerita berat serta sarat dengan emosi.
“Harapnya tahun 2025 ada orang yang memang jawatan eksekutif dari stesen berprestij terima idea saya untuk buat drama bersiri tentang remaja.
“Penatlah tengok siri yang stres saja, kenapa susah sangat nak luluskan siri tentang remaja perempuan?,” katanya.
Liyana meluahkan hasratnya itu menerusi hantaran di Instastory miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Liyana menyifatkan naskhah menceritakan kisah remaja wajar diketengahkan kerana ia mampu memberi impak positif kepada penonton.
Selain plot yang ringkas dan tidak klise, Liyana yakin drama genre remaja mampu menambat hati penonton di Malaysia.
“Bagilah peluang untuk cerita memaparkan perjalanan remaja perempuan ke alam dewasa pula! Boleh bagi inspirasi kepada remaja perempuan untuk ada harapan dalam kehidupan.
“Tolonglah buka mata bahawasanya cerita yang ringkas itulah paling senang melekat di hati kita,” ujarnya. – Agensi