Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Penunggang basikal gunung Negara Brunei Darussalam, Dayang Liyana Zakaria telah menerima suntikan semangat daripada It’s a Grind Café (IAG) pada Majlis Penyampaian Tajaan, yang berlangsung di salah sebuah restoran di Berakas hari ini.
Dayang Liyana, yang bakal menyertai Siri Enduro Asia 2018 Nepal pada 7 dan 8 April nanti, telah menerima tajaan berupa perbelanjaan dalam penyertaannya di kejohanan itu daripada IAG. Ia adalah sebagai pengiktirafan atas usahanya dalam menaikkan nama negara di persada antarabangsa.
Pengarah IAG, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan menyatakan bahawa IAG akan memberikan sokongan kepada mana-mana atlet yang berjaya membuktikan kemampuan mereka secara fizikal dan mental, terutama di peringkat antarabangsa.
“Beliau (Dayang Liyana) akan berlumba dalam lapan pusingan dan kali ini di Nepal. Pastinya beliau akan merasakan sendiri pengalaman baru dengan berlatar belakangkan banjaran Himalaya dan Gunung Everest.

“Dan ini kami akui dan iktiraf apabila penduduk kita berani melangkah keluar mencabar diri sendiri, jika boleh melepasi had yang ada,” ujar Pengiran Haji Matusin lagi.
Sementara itu, Dayang Liyana dalam temu bual menyatakan kejayaan dalam menduduki tempat kedua dalam Siri Enduro Asia di Brunei pada September tahun lalu menjadi inspirasi baginya untuk terus menyertai kejohanan ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada IAG kerana memberikan kepercayaan kepada saya dan menyokong usaha yang saya ambil sebagai atlet wanita negara ini,” ujar Liyana.