Liza Hanim kembali aktif

LAMA menyepi, namun nama Liza Hanim tidak pernah dilupakan dalam dunia seni suara. Buktinya, penyanyi berusia 38 tahun ini masih ligat di pentas meskipun tidak muncul di TV.

Penyanyi ini mengakui merindui bidang nyanyian dan tidak pernah melupakannya.

“Saya masih ambil beberapa persembahan pentas cuma tak terlalu aktif,” katanya.

Malah, kali terakhir pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim ini menghasilkan single, Egoismu yang turut menjadi runut bunyi bagi drama bersiri, Maaf Jika Aku Tak Sempurna pada 2014.

Kini nama figura ini menjadi tumpuan selepas muncul dalam program realiti, Gegar Vaganza 4  (GV4) dan lebih istimewa peminat sentiasa menantikan penyertaannya sepanjang tiga musim program itu bersiaran.

Liza Hanim bakal bertanding dengan 11 peserta lain di Gegar Vaganza musim keempat.

“Kalau diikutkan, ada kronologi kenapa saya tolak untuk menyertai program realiti ini, sebelum ini.

“Ada ketikanya tawaran tu semasa saya sedang hamil, berpantang selain sibuk fokus menguruskan bisnes,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, pujukan peminat juga membuka pintu hatinya  menyertai GV4.

“Kadang-kadang, bila peminat mencadangkan saya untuk menyertai program ini, timbul juga rasa kasihan dalam diri. Mereka mahu kita melakukan persembahan di atas pentas dan saya pun sebenarnya memang rindu sangat untuk beraksi di atas pentas.

“Rasa gementar pasti ada sebab dah lama tak menyanyi dalam satu pertandingan di hadapan orang ramai,” cerita Liza lagi.

Menurut Liza, persetujuannya menyertai GV4 bermakna dia harus sedia dengan kritikan juri dan komen netizen di media sosial namun dia yakin juri beri kritikan terbaik untuk mengajar, membantu dan membetulkan kesilapan.

Liza juga menganggap penyertaannya sebagai peluang keemasan selain berada satu pentas dengan idolanya, Aishah.

“Tapi, terus terang cakap, saya memang gementar sangat sebab bakal bertanding dengan idola saya itu tapi semuanya terpulang pada rezeki. Cuma saya anggap ini sebagai permulaan untuk aktif semula,” katanya yang merancang merakamkan single selepas ini.