Penyanyi Liza Hanim menyifatkan tindakan segelintir warganet yang sesuka hati meninggalkan komen berbaur negatif di media sosial sebagai tiada adab.
Liza atau Haliza Hanim Abdul Halim, 44, berkata dia terbuka sekiranya ada ingin menyuarakan pendapat atau meninggalkan komen negatif namun lakukan dengan cara beradab.
Katanya, masyarakat Malaysia seperti tidak menerapkan nilai-nilai murni sehingga sanggup mengutuk tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Kalau nak kongsi pendapat pun cara bercakap itu perlu ada adab. Sekarang ini saya rasa kita ada masalah itu dalam kalangan warganet.
“Bukan semua tapi ada segelintir yang bercakap tanpa fikir perasaan orang lain. Tak melambangkan masyarakat Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan,” katanya kepada mStar.
Liza berkongsi perkara itu ketika sidang media All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Liza memberitahu kecaman yang dibuat warganet mungkin boleh mendatangkan kesan buruk kepada segelintir individu.
Menurut Liza, penerimaan setiap orang terhadap perkara negatif dilemparkan adalah berbeza.
“Mereka (warganet) pandai bercakap dan kemudiannya berlalu pergi. Mereka tidak memikirkan kesan yang bakal dialami oleh individu yang dikutuk.
“Macam saya sendiri, saya seorang yang positif, saya boleh ‘menolak’ saja apa yang diperkatakan tentang saya tetapi bagaimana kalau individu mengutuk itu mempunyai masalah kesihatan mental.” – Agensi