Penyanyi Amerika, Lizzo mendedahkan dia mengalami depresi teruk sehingga terfikir untuk menamatkan hidupnya apabila berdepan dengan tuntutan saman berkaitan gangguan seksual sebelum ini.
Memetik laporan mStar, Lizzo menjelaskan, perkara tersebut merupakan satu peristiwa paling gelap yang pernah dihadapinya sepanjang 36 tahun kehidupan.
“Selepas kejadian 2023 itu, saya berada dalam depresi yang sangat teruk. Saya sangat kecewa dengan dunia dan sangat terluka.
“Ia sehinggakan saya berasa tidak mahu hidup lagi dan juga takut dengan manusia. Namun, saya akhirnya berjaya mengatasi ketakutan itu,” katanya semasa konsertnya di Los Angeles pada Khamis.
Dedah Lizzo, dia berjaya mengatasi perkara tersebut apabila terdapat kejadian di mana seorang peminat yang tidak dikenali menegurnya dengan baik dan positif.
“Satu hari itu saya berjalan dan melalui orang ramai. Ketika itu ada seorang individu yang tidak dikenali tegur saya ‘Lizzo, saya sayang awak’. Mereka hulur tangan dan akhirnya kami berpelukan.
“Selepas pengalaman itu, saya sedar yang realiti tidak sama dengan internet. Ia merupakan kasih sayang yang boleh dirasai dalam kehidupan sebenar,” ujarnya.
Sebelum ini pada Ogos 2023, Lizzo berdepan dengan beberapa tuntutan saman gangguan seksual daripada penari latarnya. – Agensi
