Penyanyi, Lizzo mengambil keputusan mengundurkan diri selepas tidak tahan menjadi mangsa buli siber yang menghina penampilan dan karakternya, lapor mStar.
Lizzo, 35, menerusi hantaran di Instagram memberitahu dia mula merasakan seluruh dunia sudah tidak mahukan dirinya.
Bagaimanapun penyanyi itu tidak menjelaskan secara spesifik sama ada dia mengundurkan diri daripada dunia muzik atau media sosial.
“Saya berasa letih apabila sering menjadi mangsa semua orang di internet,” tulisnya.
Hantaran itu dibuat Lizzo sehari selepas peguam yang mewakili bekas penarinya menyelar tindakan sebuah penganjur badan amal yang melibatkan penyanyi berkenaan meskipun sedang berdepan tuduhan jenayah seksual di mahkamah.
Selain gangguan seksual, Lizzo berdepan tuduhan membuli para penarinya dan mewujudkan suasana kerja tidak sihat dalam kalangan pekerjanya.
Bagaimanapun Lizzo menafikan semua tuduhan dibuat terhadapnya.
Dalam pada itu, Lizzo memberitahu dia hanya mahu berkarya dan membuatkan orang ramai gembira dengan muzik dihasilkan.
Lizzo berkata, dia sudah letih apabila ramai menentang dan membulinya dalam talian dan menjadikan kisah dirinya sebagai bahan berita.
Malah katanya, berat badannya juga sering dijadikan bahan jenaka oleh warganet membuatkan dia sering berasa rendah diri. – Agensi
