Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    LKEB gesa usahawan tempatan sertai PBBA

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) telah menganjurkan Hari Terbuka pada 17 Januari lalu untuk mempromosikan permohonan Anugerah Proudly Brunei Business (PBBA) 2025, bertujuan mengiktiraf dan menyokong perusahaan tempatan yang cemerlang.

    Kini memasuki edisi kedua, PBBA menawarkan dua kategori utama iaitu Kluster Terbuka dan Kluster Prioriti, masing-masing terdiri daripada lima anugerah.

    Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $10,000 dan rakan kongsi strategik untuk menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.

    Anugerah Kluster Terbuka merangkumi kategori Pertumbuhan Perniagaan, Inovasi, Usahawan Belia, Permulaan dan Usahawan Wanita.

    Sementara itu, Anugerah Kluster Prioriti memberi tumpuan kepada lima sektor sasaran kerajaan untuk kepelbagaian ekonomi, iaitu Makanan, Pelancongan, Hiliran (Minyak dan Gas), ICT dan Perkhidmatan.

    Antara yang hadir pada acara yang diadakan di Auditorium Utama Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi. – GAMBAR SERAHAN LKEB
    GAMBAR SERAHAN LKEB

    Hari Terbuka yang diadakan di Auditorium Utama Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi itu turut menampilkan tiga pemenang PBBA 2024 yang berkongsi pengalaman mereka selepas memenangi anugerah.

    Pemenang Anugerah Permulaan tahun lalu, Pengasas Bersama GoMamam, Awang Hadi Wahab berkata anugerah tersebut membantu memperkukuh kedudukan syarikatnya sebagai platform e-dagang terkemuka di Brunei.

    “Pembiayaan ini telah menyokong penempatan semula dan pembesaran pejabat kami serta membolehkan kami meneroka pasaran baharu.

    “Dengan sokongan BIBD sebagai rakan strategik, kami juga berjaya menganjurkan acara untuk vendor kecil dan perniagaan dari rumah di platform kami,” katanya.

    Pengasas Taurean Bakeshop, Tsang Poh Yee, yang memenangi Anugerah Usahawan Wanita pula berkata pembiayaan yang diterima digunakan untuk menjenamakan semula perniagaannya dan membuka kedai dalam talian.

    “Memenangi anugerah ini bukan sahaja memberi pengesahan kepada kami, tetapi juga kepada pelanggan yang telah bersama kami sejak awal.

    “Kini, kami mula mengeksport biskut ke Singapura melalui kerjasama LKEB dengan Mustafa Centre,” jelasnya.

    Tambah beliau, rakan kongsi strategik seperti Dynamik Technologies turut membantu mereka mendapatkan akses kepada kepakaran teknologi yang relevan.

    Untuk semua kategori PBBA, syarat utama termasuk pemilikan tempatan sekurang-kurangnya 50 peratus, beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan memiliki rekod penyata kewangan.

    Penciptaan nilai tempatan, termasuk peluang pekerjaan dan produk serta perkhidmatan yang dibangunkan dalam negara diutamakan.

    Proses penilaian melibatkan juruaudit pihak ketiga serta panel hakim dari organisasi luar yang menjalankan semakan dan pemarkahan secara profesional.

    Permohonan untuk PBBA 2025 kini dibuka sehingga 2 Februari, manakala majlis penganugerahan dijadualkan berlangsung pada Mei 2025. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang dare.gov.bn/proudly-brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Tidak sengaja