Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Negara Brunei Darussalam, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) telah mengambil bahagian dalam ASEAN-Australia Special Summit Marketplace (AASSM) yang berlangsung di Pusat Persidangan dan Pameran Melbourne pada 4 Mac lalu.
Sidang kemuncak itu menyediakan sebuah platform bagi para peniaga Australia mendapatkan nasihat dan maklumat daripada persatuan perdagangan dan agensi-agensi sekali gus mempromosikan pelaburan
ASEAN yang berkaitan dengan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Asia Tenggara.
Menerusi petak pameran Invest in Brunei Darussalam pada persidangan berkenaan, LKEB berinteraksi dengan pelbagai perusahaan kecil dan sederhana, dewan-dewan perniagaan serta agensi-agensi negara dan persekutuan Australia, yang mengutarakan pertanyaan mengenai ekosistem perniagaan dan meneroka peluang-peluang bagi potensi perkembangan mereka ke Brunei.
Di luar acara berkenaan, LKEB juga berjumpa dengan Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) bagi membincangkan cara-cara untuk meningkatkan kerjasama pelaburan dan perdagangan khususnya dalam membawa masuk pelabur-pelabur Australia ke negara ini.
Petak pameran LKEB juga menerima kunjungan daripada Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr Kao Kim Hourn dan Utusan Khas bagi Asia Tenggara, Nicholas Moore.
Australia muncul sebagai sumber FDI penting bagi Brunei dan selaras dengan Strategi Ekonomi Asia Tenggara 2040 kerajaan Australia, ia sedang meningkatkan penglibatan pelaburan dan perdagangan dengan negara ini serta aktif menjana peluang-peluang bagi Australia untuk melabur dalam bidang-bidang seperti makanan, pertanian, sumber-sumber, tenaga hijau dan pendidikan.


