Lloris ‘cuti panjang’

LONDON, 8 OKT – Penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris akan diketepikan bagi baki tahun ini selepas mengalami siku terkehel dalam satu kekalahan mengecewakan di Brighton baru-baru ini.

Lloris diusung keluar padang dengan menjerit kesakitan selepas menampan satu hantaran lintang sebelum terjatuh ke belakang dan mendarat dengan teruk ketika dia dibolosi bagi gol pembukaan di Amex.

“Hugo Lloris telah menjalani beberapa pemeriksaan lanjut pagi tadi selepas mengalami siku terkehel pada perlawanan menentang Brighton,” menurut kenyataan Tottenham.

“Hasil menunjukkan meskipun pembedahan tidak diperlukan, kapten kelab kami telah mengalami kecederaan ligamen dan tidak dijangka kembali berlatih sebelum berakhirnya 2019.”

Berita itu menjadi satu tamparan besar kepada harapan Spurs untuk memperbaiki permulaan hambar mereka musim ini.

Hugo Lloris diusung keluar selepas mengalami kecederaan yang mengetepikannya hingga tahun depan. – AP

Skuad kendalian Mauricio Pochettino hanya menang tiga dari 11 perlawanan dalam semua pertandingan dan dibelasahkan 7-2 oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lepas.

Penjaga gol Argentina, Paulo Gazzaniga akan menggantikan tempat Lloris bagi perlawanan-perlawanan seterusnya.

Lloris juga akan terlepas kelayakan Euro 2020 bersama Perancis menentang Iceland, Turki, Albania dan Moldova.

“Ia sukar untuk menyatakan berapa lama dia akan diketepikan,” kata bos Perancis, Didier Deschamps. – AFP