SAINT-DENIS, 10 Okt – Bintang remaja Perancis, Kylian Mbappe memerlukan lebih banyak perlawanan untuk lebih menyerlah di pentas antarabangsa, menurut penjaga gol Hugo Lloris.
Seperti rakan sepasukannya yang lain, Mbappe gagal menyerlah dalam kemenangan penting 1-0 Perancis di Bulgaria bagi mengekalkan nasib Piala Dunia berada di tangan mereka.
Kemenangan awal pagi Rabu di laman sendiri kepada Belarus akan memastikan tiket mereka ke Rusia 2018.
Dan meskipun penyerang Paris Saint-Germain, Mbappe bergelut di Sofia, Lloris percaya dia akan kembali bangkit.
“Perkembangannya tidak terbantut, tetapi dia memerlukan lebih banyak perlawanan bersama Perancis,” kata kapten Perancis, Lloris.
“Ia sukar untuk menilai seorang pemain bagi persembahannya menentang Belarus. Ia adalah perjuangan sengit.
“Kylian masih muda, dia mempunyai banyak masa mencapai matlamatnya, namun di usia 18 tahun, dia sudah mampu membuat kelainan dalam beberapa perlawanan besar.”
Meskipun sudah menghampiri kelayakan, Perancis menghadapi banyak kritikan dalam kempen ini, terutamanya selepas satu keputusan seri 0-0 di laman sendiri kepada Luxembourg bulan lepas.
Tetapi Lloris mengetepikan kekecewaan sementara itu.
“Saya sudah katakan sebelum ini, matlamat utama adalah menang. Tetapi jika kami mahu melakukannya dalam jangka masa sederhana kepada jangka masa panjang, makan kami perlu membuat persembahan terbaik,” katanya.
“Kami tahu semuanya tidak sempurna. Selepas Bulgaria, terdapat kekecewaan kerana kami gagal bermain dengan baik.
“Tetapi kami berjaya menang di sana. kami perlu memberikan lebih banyak masa bermain kepada semua pemain muda ini bagi membuktikan diri mereka dalam pasukan Perancis.” – AFP