MARSEILLE, 2 NOV – Kapten Tottenham Hotspur, Hugo Lloris berkata pasukannya menampilkan personaliti hebat ketika bangkit menewaskan Marseille 2-1.
Keputusan itu melayakkan mereka ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah sebagai juara kumpulan.
Spurs memerlukan satu mata daripada kunjungan ke Perancis untuk layak ke pusingan kalah mati dan kemenangan bagi memastikan kedudukan sebagai juara Kumpulan D, tetapi mereka ketinggalan hasil jaringan babak pertama Chancel Mbemba di Stadium Velodrome.
Bagaimanapun, mereka bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Clement Lenglet sebelum Pierre-Emile Hojbjerg meledak gol kemenangan pada minit ke-95.
“Ia malam yang sukar. Satu perjuangan hebat. Saya rasa ia lebih kepada peperangan psikologi kerana pada babak pertama, Marseille bermain tanpa rasa takut untuk tewas.
“Pada babak kedua, kami berdepan pasukan yang mula rasa takut untuk kalah kerana mereka mendahului 1-0 dan satu gol sudah cukup untuk menghalang peluang mereka melayakkan diri,” kata Lloris. Spurs ditemani Eintracht Frankfurt, yang layak hasil kemenangan 2-1 di laman Sporting Lisbon.
Tottenham meraih kemenangan tanpa kehadiran Antonio Conte di tepi padang selepas pengendali itu digantung satu perlawanan. Kelab Liga Perdana Inggeris itu, yang akan bertemu Liverpool Ahad ini, menyaksikan Son Heung-min terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada babak pertama. – AFP