PARIS, 11 Jun – Perancis merumitkan tugas mereka dalam memastikan kelayakan automatik bagi Piala Dunia tahun depan di Rusia selepas kalah dramatik 2-1 di Sweden.
Sweden memperoleh kemenangan menerusi jaringan Ola Toivone dari garisan tengah selepas satu sepakan lemah penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.
Gol aneh itu telah mencetuskan sorakan besar daripada penyokong tuan rumah di Stockholm, tetapi apa yang penting adalah dengan berbaki empat perlawanan, kemenangan itu telah melonjakkan Sweden ke puncak Kumpulan A, berkongsi 13 mata dengan Perancis.
Hanya pemenang dalam setiap kumpulan dijamin bagi tempat di Rusia tahun depan, dengan lapan pasukan di tempat kedua bersaing dalam playoff.
Pasukan Perancis kini berdepan dengan pertembungan sukar pada 31 Ogos menentang Belanda, yang memburu dari belakang selepas membelasah Luxembourg 5-0.
Perancis mendapat gol awal menerusi penyerang Arsenal, Olivier Giroud pada minit ke-37, tetapi Sweden mendapat gol penyamaan sebelum rehat menerusi Jummy Durmaz (43).
Dan selepas tiga minit masa kecederaan, Toivone mengambil peluang daripada sepakan lemah kapten Perancis, Lloris, dengan membuat percubaan jauh ke gawang Perancis.
“Ia adalah senario buruk,” kata jurulatih Didier Deschamps.
“Saya tidak akan menyalahkan Hugo, dia kerap melakukan tugasnya dengan baik, tetapi ia (gol itu) merugikan kami.”
Jurulatih Perancis itu menambah bahawa “keputusan seri bukan keputusan ideal tetapi ia mungkin mata yang baik, bagi membolehkan kami mengekalkan Sweden di belakang.”
Bagu skuad Deschamps, ia adalah kekalahan pertama dalam kelayakan dan mereka kini berdepan tugasan sukar menentang Belanda di Paris. – AFP