Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lloyd’s alami kerugian AS$2.3 bilion akibat kebakaran LA

    LONDON, 11 MAC – Pasaran insurans Lloyd’s di London kelmarin melaporkan kerugian sebanyak AS$2.3 bilion akibat kebakaran hutan yang melanda Los Angeles (LA) awal tahun ini.

    Ketua Pegawai Kewangan Lloyd’s, Burkhard Keese, dalam satu kenyataan berkata pihaknya masih menilai kesan penuh kebakaran pada Januari lalu yang akan menjejaskan keputusan kewangan tahun 2025.

    Kebakaran di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu berlarutan selama tiga minggu, memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.

    Kemusnahan berlaku secara meluas, termasuk di kawasan elit Pacific Palisades, Malibu serta komuniti Altadena di daerah Los Angeles.

    Firma meteorologi swasta AccuWeather menganggarkan jumlah keseluruhan kerugian ekonomi akibat kebakaran itu di antara AS$250 bilion dan AS$275 bilion.

    Lloyd’s kelmarin turut mengumumkan keputusan kewangan bagi tahun 2024, mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak AS$11.4 bilion, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

    Kerugian daripada kebakaran itu dibandingkan dengan anggaran kerugian sekitar 1.2 bilion Euro (AS$1.3 bilion) yang diumumkan oleh syarikat insurans Jerman, Munich Re, bulan lalu.

    Munich Re menyifatkan kebakaran tersebut sebagai ‘kerugian terbesar dalam sejarah industri insurans’ berpunca daripada kebakaran hutan.

    Syarikat itu bagaimanapun menyatakan bahawa ia sudah bersedia untuk menanggung kos bencana alam seperti itu dan akan terus menyediakan perlindungan insurans terhadap kebakaran hutan selagi pampasan yang diberikan adalah bersesuaian. – AFP

    Gambar udara menunjukkan deretan rumah yang musnah akibat kebakaran di kawasan kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles, California pada 29 Januari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda