Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Shell LiveWIRE Brunei, hari ini, telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) untuk program Akademi Perniagaan Tenaga dan Keusahawanan di Amfiteater, Makmal Inovasi Brunei, Anggerek Desa.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengurus Korporat BSP, Haji Jaafar bin Haji Bakar.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB), Daniel Leong; Pengurus Nilai Negara BSP dan Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan; dan Pengurus Rantaian Bekalan BSP, Dayang Mariana Omar.
Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BSP dan Shell LiveWIRE Brunei untuk menyokong penggunaan pendigitalan dan memaksimumkan jangkauan program di dalam negara.
Memandangkan program tersedia dalam talian, pemilik perniagaan mempunyai fleksibiliti dan kebebasan untuk mendaftar, memulakan dan menyelesaikan mengikut masa mereka sendiri.
“Pelancaran ini merupakan satu pencapaian penting bagi kedua-dua organisasi dalam menyokong penggunaan pendigitalan dan menyediakan akses yang lebih mudah serta fleksibel kepada peluang pembangunan keusahawanan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Dengan platform latihan dalam talian, program ini boleh diakses 24 jam secara percuma,” menurut Hajah Rosita.
Semasa acara itu, segmen Hari Terbuka Mentor turut diadakan untuk mempromosikan bimbingan dengan penggunaan aplikasi mudah alih Shell LiveWIRE, Brunei Mentor With Us (MWU). Program ini diadakan dengan kerjasama rapat bersama Shell LiveWIRE Brunei Alumni dan Brunei Mentors for Entrepreneurs Network (BMEN), sebuah inisiatif bimbingan perniagaan yang dikendalikan oleh Darussalam Enterprise (DARe) dengan kerjasama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei.
