BEIJING, 28 JUN – China mengenakan perintah lockdown yang lebih ketat terhadap hampir sejuta orang di wilayah sekitar ibu kota untuk membendung penularan jangkitan daripada kluster baharu hari ini, ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa wabak itu masih ‘parah dan rumit.’
Selepas China melakukan pengekangan jangkitan virus itu secara besar-besaran, ratusan telah dijangkiti di Beijing dan kes-kes muncul di wilayah kejiranan Hebei dalam beberapa minggu terakhir.
Pegawai kesihatan hari ini berkata bahawa daerah Anxin – kira-kira 150 kilometer (90 batu) dari Beijing – akan ‘dikepung dan dikawal sepenuhnya’, tindakan tegas yang sama dikenakan semasa keadaan kritikal wabak berkenaan di bandar Wuhan awal tahun ini.
Hanya seorang dari setiap keluarga dibenarkan keluar sekali sehari untuk membeli barang keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan, kata pasukan petugas pencegahan wabak daerah.
Langkah itu dilakukan setelah 14 lagi kes virus dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir di Beijing, menjadikan jumlah jangkitan kepada 311 sejak pertengahan Jun dan menyebabkan berjuta-juta penduduk diarahkan untuk melakukan ujian pengambilan sampel.

Wabak itu pertama kali dikesan di pasar makanan borong Xinfadi di Beijing, yang membekalkan makanan segar di bandar itu, mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan rantaian bekalan makanan.
Hampir satu pertiga kes setakat ini mempunyai kaitan dengan pasar berkenaan, di mana pekerja dikuarantin selama sebulan, kata pegawai bandar hari ini.
Perniagaan di daerah Anxin telah membekalkan ikan air tawar ke pasar Xinfadi, lapor agensi berita negeri Xinhua.
Sebanyak 12 kes koronavirus dikesan di daerah ini – termasuk 11 kes yang berkaitan dengan Xinfadi, lapor Global Times yang dikendalikan oleh kerajaan.
Kes baharu di Beijing telah menimbulkan kebimbangan penularan virus di China. – AFP