Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Logam misteri di gurun barat AS hilang

    LOS ANGELES, 29 NOV – Logam misteri yang ditemui tertanam di gurun terpencil dekat barat Amerika Syarikat (AS) dan mencetuskan teka-teki bagaimana ia boleh berada di situ, dilaporkan hilang.

    Biro Pengurusan Tanah di Utah mendakwa pihaknya menerima ‘laporan yang boleh dipercayai’ bahawa objek itu dikeluarkan oleh ‘pihak yang tidak diketahui’ pada petang Jumaat.

    Biro berkenaan juga mengakui tidak memindahkan struktur logam yang dianggap barang milik peribadi itu.

    “Kami tidak menyiasat jenayah yang membabitkan harta persendirian yang mana ia dikendalikan oleh pejabat polis tempatan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

    Logam berbentuk tiang segi tiga berkilat setinggi kira-kira empat meter itu dijumpai pegawai tempatan yang melakukan rondaan udara pada 18 November lalu. Kru Jabatan Keselamatan Awam Utah kemudian menemui logam monolit dan tiada petunjuk jelas siapa yang bertanggungjawab meletakkan objek itu di kawasan terbabit.

    Berita penemuan itu menjadi tular di internet dan ramai berpandangan objek itu mempunyai persamaan dengan monolit makhluk asing dalam filem sains fiksyen berjudul 2001: A Space Odyssey.

    Walaupun pegawai berkenaan enggan mendedahkan lokasi objek itu berada kerana bimbang ramai yang akan berpusu-pusu ke kawasan gurun terpencil itu, namun beberapa orang dapat mengesannya. Beberapa pemerhati mendakwa objek itu mirip dengan karya seorang artis AS, John McCracken yang pernah tinggal berhampiran New Mexico dan meninggal dunia pada tahun 2011. – AFP

    Gambar fail pada 18 November 2020 menunjukkan kakitangan negeri Utah berjalan berhampiran dengan logam besi yang ditanam di gurun terpencil dekat barat AS di Utah. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda