Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Loghat utara lonjak nama Eyra Hazali

    KUALA LUMPUR – Menguasai loghat utara dengan baik dalam drama rantaian, Mr Grey, bakat baharu, Eyra Hazali sering ditegur peminat menggunakan dialek itu.

    Mewarisi penguasaan loghat utara daripada ayah dan datuk yang berasal dari Pulau Pinang, Eyra, 19, tidak menyangka drama lakonannya mendapat sambutan hingga trending.

    “Ketika menjalani penggambaran drama ini, saya tak terfikir ia akan mendapat sambutan luar biasa.

    “Loghat utara saya juga dipuji… Nasiblah ada kelebihan kerana bapa dan datuk berasal dari Pulau Pinang, jadi tidaklah kekok.

    “Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang memberi komen dan pandangan positif,” katanya.

    Eyra Hazali tidak pernah menyangka loghat utara dalam drama Mr Grey berjaya untuk menaikkan namanya.

    Eyra berkata, sejak watak Nisa Ardina lakonannya dalam drama Mr Grey popular, dia sering ditegur peminat menggunakan nama itu.

    “Lucunya ada yang menyapa dengan loghat utara sama seperti dialog saya dalam drama berkenaan,” katanya yang teruja dengan rating yang diraih drama siaran Astro Ria itu.

    Drama 20 episod itu dijangka berakhir pada 10 Mei depan.

    Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali mengaku mula mendapat perhatian pengarah dan penerbit selepas muncul dalam drama berkenaan.

    “Ramai penerbit dan pengarah yang menghubungi kerana mahu menawarkan watak untuk projek mereka.

    “Rata-rata ramai tidak sangka saya boleh membawa watak seperti Nisa. Ramai yang mula memandang bakat saya biarpun sudah mula berlakon sejak kanak-kanak.

    “Namun, saya bersyukur biarpun lambat mendapat perhatian. Setiap orang ada laluan dan cara tersendiri dalam hidup serta kerjaya,” katanya.

    Eyra mula berlakon sejak usia enam tahun. Dia pernah menghiasi video muzik Anuar Zain, Andainya Takdir dengan melakonkan watak sebagai anak kepada watak dilakonkan Anuar dan Sharifah Sakinah.

    Pada usia 11 tahun, Eyra merangkul trofi Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2010 hasil lakonan dalam telefilem Anak Anak Lorong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda