SOMA, TURKIYE – Sambil berlutut di bawah sebatang pokok pada waktu pagi, Osman Arslan membancuh teh di belakang loji janakuasa arang batu yang begitu menonjol di atas kawasan perkampungan Aegean Turkiye itu.
Dia baru saja pulang dari menunaikan ibadah haji di Mekah bersama isterinya, sambil mengimbau kembali zaman keemasan ketika belum ada kewujudan loji tenaga haba di Soma.
Pokok-pokok zaitunnya jauh lebih sihat pada masa itu, kata Arslan sambil asap daripada api yang dinyalakan untuk tehnya itu bercampur dengan asap yang dikeluarkan dari cerobong asap loji tersebut.
Sekurang-kurangnya 300 orang maut di perkampungan itu dalam bencana perlombongan terburuk Turkiye pada 2014, hampir tiada sesiapa yang menyokong loji Soma.
Namun seperti kebanyakan loji lain yang mengeluarkan pencemaran di seluruh negara, ia telah menggunakan sebahagian besar batu arang tempatan dan kini ia ingin dikembangkan dengan mencari lebih banyak arang.
Hal itu telah menyebabkan bantahan dan kadang kala penduduk tempatan cuba untuk menghalang secara fizikal pengembangan tersebut.
Penduduk kampung dan aktivis alam sekitar terlibat dalam pertelingkahan dengan polis di wilayah Mugla di sebelah barat daya sejak loji tersebut mula menebang pokok-pokok dan kebun zaitun untuk mencari lebih banyak batu arang bulan lalu.
Kesan kepada manusia
Satu lawatan AFP ke lima buah perkampungan berdekatan loji kuasa arang batu Turkiye menyaksikan kesan yang tinggi kepada manusia akibat terlalu bergantung kepada sumber tenaga yang usang dan mencemarkan.
Pokok-pokok zaitun di bandar Aegean Milas dan tomato serta kacang di dataran tenggara Afsin, tidak lagi subur, sementara masalah pernafasan menjadi masalah yang paling mengancam nyawa di barat daya Yatagan.
Loji Yatagan, salah satu yang tertua di Turkiye, mengeluarkan bau metana yang kuat dan tersebar menerusi udara, bahkan lapisan habuk yang jelas kelihatan menutupi pokok-pokok dan taman-taman di wilayah itu.
Okan Goktas, 44, yang menyiram ladang pada waktu petang, mengatakan bapanya bersara dari loji Yatagan.
“Ramai penduduk kampung di kawasan sekitarnya bekerja di sana,” katanya.
“Sokongan kerajaan kepada pertanian hampir tidak wujud, jadi orang ramai tidak mempunyai pilihan selain bekerja di loji itu,” jelasnya.
Walaupun Presiden Recep Tayyip Erdogan berjanji bahawa Turkiye akan mencapai sifar pelepasan karbon menjelang tahun 2053, para pengkritik mempersoalkan komitmennya.
Turkiye adalah negara terakhir dalam kalangan Kumpulan 20 ekonomi utama yang meratifikasi Perjanjian Iklim Paris, melakukannya hanya setelah alam sekitar menjadi isu politik utama berikutan kebakaran hutan yang dahsyat pada 2021.
Sementara itu, loji-loji kuasa itu perlu mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan sebelum ia diperluaskan.
Loji Yenikoy dan Kemerkoy telah meratakan kawasan-kawasan di mana pokok-pokok zaitun Milas yang dieksport ke serata dunia pernah tumbuh.
Penduduk kampung mengatakan loji Yenikoy membeli tanah pertanian pada harga yang rendah, memanfaatkan penduduk yang putus asa untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sedikit pulangan daripada tanah nenek moyang mereka.
Tidak puas hati
Namun loji Yenikoy kelihatan tidak pernah puas dan mencari lebih banyak hutan dan tanah pertanian untuk diratakan.
Dalam dua tahun yang lalu, beberapa teluk hampir sepenuhnya diisi dengan lignit baharu, memaksa penduduk kampung untuk berhijrah agar loji itu dapat terus beroperasi.
Ada pula yang berasa terperangkap kerana bergantung kepada tumbuhan sebagai mata pencarian.
Nail, 63, mengatakan loji di bandar pantai Aegea, Karabiga, mengambil seramai 600 pekerja, termasuk anak lelakinya.
Yusuf, yang melihat loji kuasa tempatan dari berandanya di bandar wilayah Kahramanmaras di timur, Afsin, juga bekerja di loji tempatan.
Pekerja tersebut, yang enggan mendedahkan namanya, menyalahkan pencemaran loji tersebut atas tanaman tempatan yang lemah.
Dua beradik, Ali dan Yusuf Avci bersetuju. Sambil menyiram tanaman jagung yang masih kekal, mereka mengatakan tidak lagi dapat menanam kacang dan tomato yang mudah rapuh kerana loji tersebut menyelimuti tanaman dengan debu hitam dari arang yang dibakar.
Yusuf Avci, 48, berpendapat bahawa loji tersebut tidak menggunakan penapis udara yang sewajarnya pada waktu malam dan kedua-dua beradik itu telah memfailkan saman.
Bagaimanapun, akhirnya mereka tetap kalah kerana pakar yang menjalankan pemeriksaan menyimpulkan bahawa tidak ada kerosakan yang berlaku. – AFP