Loji kimia Texas meletup

WASHINGTON, 27 NOV – Satu letupan kuat tercetus di loji kimia Port Neches, Texas awal pagi ini dan penduduk berhampiran diarahkan untuk berpindah berikutan kediaman mereka mengalami kerosakan.

Tiada mangsa maut dalam kejadian itu dan tiga orang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Pengendali loji, TPC Group dalam satu kenyataan berkata letupan berlaku di unit pemprosesan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

Bomba menerusi status di Facebook berkata penduduk yang menetap hampir satu kilometer dari loji itu dikehendaki meninggalkan kediaman mereka. Media tempatan melaporkan sebuah gereja di Nederland digunakan sebagai pusat pemindahan untuk menempatkan penduduk terjejas.

Penduduk Ryan Mathewson, 25, memberitahu AFP kaca berpecah manakala sebahagian siling rumah dan pintu rosak teruk.

Lebih 200 kakitangan bekerja di loji menghasilkan gas butadiena yang digunakan dalam pemprosesan getah sintetik dan petrokimia seperti butana. – AFP