SEOUL, 11 SEPT – Seorang pekerja maut manakala tiga lagi cedera apabila paip dandang meletup di loji kuasa terma di daerah Seocheon, Korea Selatan hari ini, menurut Xinhua memetik agensi berita Yonhap.
Kejadian berlaku pada 10:54 pagi waktu tempatan di tingkat lima bangunan utama loji, kira-kira 170km ke selatan Seoul.
Kebocoran wap dengan tekanan tinggi menyebabkan seorang pekerja berusia 50 tahun mengalami serangan jantung manakala tiga yang lain cedera akibat melecur.
Lelaki berusia 50 tahun itu dihantar ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, manakala mangsa yang cedera sedang dirawat.
Insiden itu berlaku semasa pemeriksaan injap dandang dan letupan itu tidak menyebabkan kebakaran. – Bernama