ISTANBUL, 11 SEPT – Ukraine hari ini memaklumkan operasi di loji tenaga nuklear terbesar Eropah telah dihentikan sepenuhnya.
Reaktor terakhir loji Zaporizhzhia telah diputuskan daripada grid kuasa pada 3:41 pagi, lapor agensi Anadolu memetik kenyataan pengendali kuasa atom Ukraine, Energoatom.
Loji yang di bawah kawalan Rusia sejak Mac itu telah terputus daripada grid kuasa pada Isnin lalu, susulan kebimbangan semakin meningkat mengenai bencana nuklear ketika Moscow dan Kyiv saling menuduh terhadap serangan ke atas kemudahan itu.
Energoatom memaklumkan talian elektrik telah dipulihkan pada Sabtu bagi membolehkan pegawai ‘menutup unit kuasa No 6 dan menukarkannya kepada keadaan paling selamat – penutupan.’
Agensi itu memberi amaran bahawa risiko kerosakan dan bekalan kuasa terputus untuk berulang masih berada pada ‘tahap tinggi.’
Dalam senario sedemikian, loji itu perlu ‘menggunakan kuasa diesel, dengan sumber terhad,’ menurut kenyataan itu.
Zaporizhzhia, antara 10 loji tenaga nuklear terbesar di dunia, menjana 20 peratus tenaga elektrik Ukraine sebelum krisis. – Bernama
