SHIZUOKA, 18 MEI – Keputusan pihak berkuasa tempatan untuk mempromosikan sebuah jambatan sebagai lokasi terbaik merakam gambar Gunung Fuji yang menarik untuk Instagram dilihat telah memakan diri.
Ini susulan bantahan penduduk setempat terhadap gangguan yang tercetus akibat kehadiran orang ramai yang memenuhi kawasan itu demi mendapatkan gambar kenangan seumur hidup mereka, lapor agensi berita Kyodo.
Lokasi yang dikenali sebagai ‘Jambatan Impian Gunung Fuji’ di Fuji, wilayah Shizuoka pada awalnya diharapkan menjadi tarikan pelancong yang memberi manfaat kepada kawasan itu. Sebaliknya, ia menimbulkan rungutan penduduk mengenai masalah tempat letak kereta haram dan bunyi bising yang melampau.
Semasa hari cuaca baik pada April lepas, lebih 50 orang beratur untuk mengambil gambar di sebuah tangga yang tular kerana kelihatan seolah-olah menghala terus ke Gunung Fuji setinggi 3,776 meter, gunung tertinggi di Jepun.
Zhu Yihao, seorang pengunjung dari Shanghai, China, berkata beliau berharap dapat merakam gambar yang indah dan unik di lokasi itu.
Jambatan yang dibina pada 2016 untuk menghubungkan dua jalan raya utama, kini menarik kira-kira 1,000 pengunjung pada hari-hari tertentu.
Laman sesawang kerajaan bandar raya itu menggalakkan pelawat berkongsi gambar yang diambil di lokasi berkenaan di media sosial, namun pada masa sama, meminta mereka supaya mengambil gambar dengan senyap. Papan tanda amaran dalam beberapa bahasa juga dipasang di sekitar kawasan berkenaan selain menyediakan tempat letak kereta percuma. – Bernama
