Lokasi pekerja asing diperiksa

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 10 JULAI – Anggota Daerah Polis Temburong telah menemui lima karton dan 27 paket rokok pelbagai jenis yang tidak diisytiharkan milik tiga orang pekerja asing semasa menjalankan operasi pemeriksaan warga asing di dua lokasi tempat tinggal pekerja di kawasan Jalan Batang Duri, Daerah Temburong

Para pekerja tersebut telah ditahan dan rokok-rokok berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Cawangan Temburong untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006.

Operasi yang melibatkan seramai 22 orang pegawai dan anggota polis itu menumpukan pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi rumah pekerja asing.

Matlamat utama operasi adalah untuk membuat pemeriksaan secara rambang terhadap pekerja asing yang bekerja khususnya di Daerah Temburong untuk memastikan mereka tidak memiliki barang- barang tegahan lebih-lebih lagi barang-barang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Operasi berkenaan adalah usaha berterusan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di Daerah Temburong dalam sama-sama membanteras jenayah dan kegiatan yang menyalahi undang-undang serta memastikan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan tenteram daripada gejala-gejala yang mendatangkan kesan negatif dan buruk kepada masyarakat awam.

PDB menemui beberapa karton rokok ketika menjalankan pemeriksaan di beberapa buah rumah pekerja asing, baru-baru ini.