Lokasi rakaman selebriti diserang

PARIS, 21 OGOS – Tembakan dilepaskan dan beberapa orang mengalami kecederaan ketika kumpulan yang bersenjatakan senapang dan kayu besbol menyerbu lokasi bagi rakaman muzik video penyanyi kontroversi Perancis, Booba, menurut sumber polis kepada AFP hari ini.

Penyanyi berusia 42 tahun itu, yang merupakan antara penyanyi rap terkenal di Perancis, berbalah dengan rakan penyanyi, Kaaris, sehingga mencetuskan keganasan di lapangan terbang Paris tahun lepas, menyebabkan mereka berdua dipenjara selama sebulan.

Kira-kira 15 orang terlibat dalam serangan hari ini, yang terjadi sekitar jam 2200 GMT di Aulnay-sous-Bois, menurut sumber itu lagi, mengesahkan satu laporan yang dikeluarkan oleh radio Europe 1.

Salah seorang yang cedera mengalami kecederaan pada paha akibat terkena peluru tetapi lukanya tidak mengancam nyawa, menurut sumber.

Booba tidak berada di tempat kejadian, jelasnya lagi.

Serangan hendap itu dilaporkan terjadi di sebuah gudang di mana rakaman muzik video dibuat, dengan para penyerang memasuki kawasan itu menggunakan kereta dan melepaskan tembakan ke arah kru Booba.

Para penyerang kemudian mula menyerang kru selebihnya dengan menggunakan batang besi dan kayu besbol, mengakibatkan produser

video mengalami kecederaan serius di kepala dan seorang juruteknik juga mengalami kecederaan parah, menurut BFMTV.

Ia menyatakan bahawa lelaki yang mengalami kecederaan pada kaki itu adalah pengurus pemasaran dan penajaan Booba. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 14 Mei 2011 menunjukkan Booba ketika mengadakan persembahan di Cannes. Lokasi bagi rakaman muzik video Booba telah diserang hendap oleh kumpulan bersenjata kelmarin. – AFP