Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Lolos ke brunei 11 kali’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seorang lelaki warga Malaysia diperintahkan untuk membayar denda berjumlah lebih $71,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas beberapa siri pertuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana melanggar Akta Penyakit Berjangkit, Akta Imigresen dan Perintah Eksais.

    Jalani bin Asbol, 29, kelmarin, diperintahkan menyelesaikan denda sebanyak $71,800, atau berdepan hukuman penjara selama 17 bulan jika gagal membayarnya. Pendakwa Raya Nurul Husna Abidin mendedahkan di mahkamah bahawa defendan ditahan semasa terserempak dengan beberapa anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang membuat rondaan di kawasan Kampung Junjongan pada 21 Oktober lalu jam 1 pagi.

    Terdahulu sebelum penahanan Jalani, anggota berkenaan telah menemukan beberapa kotak di kawasan tersebut yang dipercayai barangan seludup yang dibawa oleh beberapa orang individu pada tengah malam. Setelah menunggu, anggota berjaya menahan Jalani dan menyerahkannya kepada Balai Polis Limau Manis untuk siasatan lanjut.

    Defendan dipercayai salah seorang penghantar barangan seludup yang melalui jalan tikus dari Limbang ke Brunei.

    Sebanyak 39 kotak barangan seludup yang ditemui itu didapati mengandungi 444 botol minuman keras dan lapan pek wain.

    Jalani kemudian dibawa ke Perkampungan Sukan Berakas untuk menjalani pengasingan diri mandatori selama 14 hari.

    Kesnya kemudian dirujuk kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan untuk siasatan lanjut.

    Siasatan lanjut mendedahkan defendan telah memasuki Brunei pada hari tersebut dan keluar masuk Brunei sebanyak dua kali sebelum ditangkap, iaitu bagi kemasukan kali ketiganya.

    Dia mengaku menghantar barang tersebut dari Limbang dan akan dibayar RM60 bagi setiap kotak sebagai komisennya.

    Selain itu dia juga mengakui telah masuk ke Brunei secara haram sebanyak 11 kali sejak bulan Oktober 2021. Mahkamah mendapati perbuatan ini telah melanggar Akta Penyakit Berjangkit kerana Jalani tidak menjalani tempoh pengasingan diri semasa memasuki negara. Dalam kenyataannya kepada kakitangan JKED, defendan mengaku telah menghantar kotak yang dibalut dengan plastik hitam, mengandungi minuman keras dari Limbang ke Brunei. Dia akan diberikan komisen sebanyak RM120 setiap dua kotak. 

    Dia mengaku walaupun tahu ia adalah satu kesalahan berbuat demikian, dia melakukannya kerana memerlukan wang. Duti Eksais yang perlu dibayar untuk minuman keras dan wain tersebut pula ialah $8,839.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menyatakan tindakan defendan adalah semata-mata bermotifkan wang. Selain itu, jenayah kemasukan secara haram itu juga dilakukan pada masa pandemik.

    Tindakannya tanpa mematuhi mana-mana protokol kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan meningkatkan risiko penularan COVID-19. Pertimbangan ini memburukkan dan diambil kira dalam menjatuhi hukuman. Keselamatan negara dan kesihatan serta keselamatan awam adalah pertimbangan utama, jelas Majistret.

    “Oleh itu, hukuman berat adalah perlu untuk memberi mesej kepada orang ramai bahawa ke-salahan seperti ini tidak dipandang ringan oleh mahkamah dan untuk menghalang defendan dan orang yang seumpamanya daripada melakukan perkara yang sama,” tambah mahkamah lagi yang turut mengambil kira pengakuan segera yang dilakukan oleh defendan di samping rekodnya yang bersih dan mitigasi semasa menjatuhi hukuman ke atas defendan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda