LONDON, 28 OGOS – Juara tinju lightweight dunia dari Ukraine Vasyl Lomachenko (gambar bawah) berkata, dia mahu menikmati persaraan dengan memburu serta memancing dan bukan bertinju dalam usia 40an seperti petinju hebat Filipina, Manny Pacquiao.
Juara Olimpik dua kali berusia 31 tahun itu berharap dapat menambah koleksi kejuaraan WBC dengan pertarungan menentang Luke Campbell di London Sabtu ini selepas gelaran WBA dan WBO itu kosong.
Lomachenko yang menikmati kerjaya amatur cemerlang memenangi emas Olimpik 2008 (featherweight) dan 2012 (lightweight) serta hanya tewas sekali daripada 396 pertarungan itu memberitahu BBC bahawa dia akan bersara sebelum berusia 40 tahun.
Pacquiao menjadi juara dunia paling tua dalam sejarah apabila berusia 40 tahun memenangi keputusan berbelah-bahagi ke atas petinju Amerika Keith Thurman Julai lalu. Lomachenko dengan tegas mengatakan dia tidak akan mengikuti jejak Pacquiao.
Campbell bertemu Lomachenko di Sukan Olimpik London 2012 untuk emas dalam divisyen bantamweight dan akan melakukan yang terbaik berbanding rakan senegara Anthony Crolla yang tewas kepada petinju Ukraine itu pada pusingan keempat April lalu. – AFP