Lombong emas komersial dirasmi

PHNOM PENH, 21 JUN – Sebuah syarikat Australia hari ini secara rasminya melancarkan operasi bagi lombong emas komersial pertama Kemboja di timur laut kerajaan itu yang kaya sumber, kata para pegawai.

Renaissance Minerals (Kemboja) Limited – yang dimiliki oleh Emerald Resources berpangkalan di Perth – telah memulakan kerja ke atas Projek Emas Okvau di wilayah Mondulkiri.

Ia dijangka akan menghasilkan lebih AS$300 juta dalam pendapatan cukai dan royalti selama tujuh tahun kepada negara itu, menurut kenyataan dari kedutaan Australia di Phnom Penh.

Projek itu mendapat sokongan kuat daripada perdana menteri Hun Sen yang dalam catatan di Facebooknya pada 10 Jun mengatakan ia adalah ‘pencapaian besar’ untuk merangsang ekonomi Kemboja – yang dijejaskan oleh pandemik.

Puratanya tiga tan emas tulen akan dihasilkan setahun dalam tempoh lapan tahun pertama operasinya, katanya.

Terletak di daerah Keo Seima, kawasan projek Emas Okvau itu telah digali dari tanah kawasan Perlindungan Hidupan Liar Phnom Prich yang pernah dilindungi dulu, pegawai kerajaan memberitahu AFP.

Penduduk di Keo Seima – ramai daripadanya puak asli – sudah lama bertikai dengan pihak berkuasa berhubung projek yang disokong kerajaan itu yang mereka dakwa sebagai pembasmian hutan ke atas balak bernilai.

Namun projek perlombongan emas itu telah dijalankan dengan ‘penuh tanggungjawab bagi perlindungan alam sekitar dan masyarakat’, kata Hun Sen dalam hantarannya. – AFP