NEVADA – Kuncup bunga merah jambu bergoyang-goyang ditiup angin di tengah gurun, penuh dengan bebola kuning yang akan berkembang mekar dan menghampari kawasan berdebu di Nevada, satu-satunya tempat di mana bunga tersebut wujud.
Di bawah akarnya terletak simpanan litium yang besar, penting untuk bateri kereta elektrik yang boleh mengurangkan pencemaran pemanasan planet. Namun, pencinta alam sekitar menyuarakan kebimbangan aktiviti pengekstrakan logam berharga tersebut mungkin memusnahkan habitat kecil bunga berkenaan.
“Lombong ini akan mencetuskan kepupusan,” kata Patrick Donnelly, seorang pakar alam sekitar di Pusat Kepelbagaian Biologi, sebuah organisasi bukan kerajaan.
“Mereka mendakwa mereka tidak merosakkan tumbuhan itu. Tetapi bolehkah awda bayangkan jika seseorang membina lombong terbuka 200 kaki dari rumah awda? Bukankah itu akan menjejaskan kehidupan awda?”
Tumbuhan yang dimaksudkan itu ialah Tiehm’s buckwheat. Terdapat kira-kira 20,000 spesimen yang diketahui, tumbuh di beberapa tempat yang sangat spesifik dengan keluasan bersamaan dengan kira-kira lima padang bola sepak.








Pada tahun 2022, bunga liar tersebut diklasifikasikan sebagai terancam oleh pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS), dengan aktiviti perlombongan dianggap sebagai ancaman utama terhadap kelangsungan hidup tumbuhan berkenaan.
Tumbuhan dan lombong litium di mana ia tumbuh melambangkan salah satu cabaran dan percanggahan utama dalam perjuangan iklim global: sejauh mana kerosakan yang boleh dilakukan manusia terhadap dunia semula jadi ketika kami berusaha menghentikan masalah yang telah dihasilkan oleh mereka?
HIDUP BERSAMA
Bernard Rowe, ketua pelombong Australia Ioneer yang memegang hak galian di kawasan itu, berkata litium yang dihasilkan di Rhyolite Ridge ‘adalah mencukupi untuk menyediakan bateri bagi kira-kira 370,000 kenderaan’ setahun.
“Kami akan melakukannya setiap tahun selama 26 tahun,” katanya.
Kenderaan berjumlah hampir 10 juta itu akan memberi sumbangan besar dalam usaha mencapai matlamat yang ditetapkan oleh Presiden Joe Biden untuk mengurangkan kenderaan negara yang menggunakan bahan api fosil sebagai cara untuk mengurangkan pengeluaran pencemar pemanasan planet AS.
Kereta pelepasan karbon sifar menyumbang sekitar 7.5 peratus daripada jualan kenderaan baharu di AS hari ini, lebih dua kali ganda berbanding beberapa tahun sebelumnya. Di California, angka itu melebihi 20 peratus.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, permintaan global untuk litium akan meningkat lima hingga tujuh kali ganda menjelang 2030. Cabaran bagi pengeluar AS ialah banyak bekalan litium dunia dikuasai oleh China, selain Australia dan Chile.
“AS mempunyai amat sedikit pengeluaran domestik,” kata Rowe.
“Oleh itu, penting untuk membangunkan rantaian bekalan domestik untuk membolehkan peralihan tenaga itu, dan Rhyolite Ridge akan menjadi bahagian penting daripadanya,” jelasnya.
Pelan Ioneer menunjukkan bahawa sepanjang tempoh lombong beroperasi – yang dijangka mula menghasilkan litium pada akhir 2027 – kira-kira satu perlima daripada habitat tumbuhan tersebut akan terjejas secara langsung.
Tetapi syarikat itu, yang telah membelanjakan AS$2.5 juta untuk menyelidiki tumbuhan tersebut, berkata perlombongan tidak akan menjejaskan kelangsungannya; ia sudah tumbuh dengan baik di rumah hijau dan ahli biologi berpendapat ia boleh ditanam semula.
“Kami sangat yakin bahawa lombong dan Tiehm’s buckwheat boleh hidup bersama,” kata Rowe.
GREEN WASHING
Donnelly berpendapat Ioneer ‘pada dasarnya hanya mengaburi mata dengan pemuliharaan.’
“Mereka berkata, ‘Kami akan menyelamatkan tumbuhan ini,’ padahal mereka akan menyebabkannya pupus,” katanya.
Di bawah pelan syarikat itu, lombong itu akan menggunakan ratusan trak, yang menurut Donnelly akan menimbulkan awan debu yang akan menjejaskan fotosintesis dan merosakkan serangga yang membantu pendebungaan tumbuhan itu.
Ioneer berkata ia telah merancang kaedah mitigasi, seperti tirai debu dan mengekalkan kelembapan jalan. Namun, Donnelly berkata, mengapa tidak memindahkan lombong sahaja? Rowe menjawab bahawa ia tidak semudah itu untuk menggali di tempat lain.
Ioneer telah melaburkan AS$170 juta sejak 2016 untuk tapak itu, yang dipercayainya sebagai salah satu yang terbaik.
“Banyak deposit lain tidak mempunyai jumlah kerja sebanyak itu, jadi ia bukan alternatif yang boleh diterima untuk projek seperti ini,” katanya. Jabatan Tenaga AS telah menawarkan pinjaman AS$700 juta kepada Ioneer untuk projek tersebut, jika Biro Pengurusan Tanah meluluskan permit operasi.
Donnelly menegaskan isu tersebut bukan sekadar masa depan satu bunga liar yang tidak dikenali, tetapi satu contoh daripada kehilangan biodiversiti besar-besaran yang mengancam jutaan tumbuhan dan haiwan.
“Jika kita menyelesaikan krisis iklim, tetapi kita memusnahkan semua makhluk hidup ketika melakukannya, kita masih akan kehilangan dunia kita,” katanya. – AFP

