Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lombong runtuh ragut 2 jiwa, lebih 50 hilang

    BEIJING, 22 FEB – Kira-kira dua maut, manakala lebih 50 mangsa lagi dilaporkan hilang dipercayai terperangkap, selepas sebuah lombong batu arang runtuh di wilayah Inner Mongolia, utara China, hari ini, lapor media kerajaan China.

    Stesen penyiaran CCTV melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari di bandar Alxa League yang terletak di barat wilayah itu. Agensi kerajaan dan berita lain menyifatkannya sebagai ‘tanah runtuh’.

    “Setakat ini, insiden itu telah menyebabkan dua mangsa terkorban dan enam cedera, manakala 53 lagi dilaporkan hilang,” menurut CCTV dalam hantaran melalui media sosial.

    Satu video dalam media sosial, kononnya disiarkan oleh seorang pemandu lori batu arang, menunjukkan batu menuruni cerun, mencetuskan debu yang menyelubungi beberapa kenderaan.

    “Seluruh cerun telah runtuh … Berapa ramai yang terselamat daripada bencana itu?” kedengaran suara lelaki berkata di latar belakang.

    “Jika saya ikut berbaris di sana hari ini, saya akan menerima nasib yang sama juga,” katanya.

    Terdahulu, CCTV hari ini melaporkan, insiden itu membabitkan ‘kawasan luas’ di sebuah lombong terbuka, yang mengakibatkan sejumlah pekerja serta kenderaan tertimbus, dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi.

    Susulan itu, Presiden China, Xi Jinping mengarahkan pihak berkuasa melakukan segala yang terdaya untuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

    “Pasukan mestilah menggunakan segala keupayaan mereka untuk menyelamat dan merawat mangsa yang cedera, selain melindungi keselamatan nyawa serta harta benda dan keseluruhan kestabilan sosial,” kata Jinping seperti yang dilaporkan CCTV.

    Lapan pasukan menyelamat melibatkan 330 kakitangan telah dihantar ke tapak tersebut di zon ekologi Luanjingtan, bersama lebih 100 peralatan menyelamat, menurut kerajaan Alxa League dalam satu kenyataan.

    Terletak di kawasan utara China yang gersang, Alxa League merupakan rantau yang tidak ramai penduduknya dengan ekonominya bergantung pada industri perlombongan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda