JOHOR BAHRU, 29 DIS – ‘Long Tiger’, lelaki etnik Rohingya yang ditahan semula semalam selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak baru-baru ini, dipercayai merancang untuk melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dipercayai cuba meloloskan diri ke Indonesia atau Thailand.
“Semalam, lebih kurang 3:15 petang, Long Tiger berjaya diberkas di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah bersama seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bertindak melindunginya.
“Memang itulah (meloloskan diri ke negara jiran) rancangan Long Tiger iaitu sama ada mahu menyeberang ke Indonesia atau ke Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata pergerakan Abdul Hamim dari Tangkak ke Sungai Petani dipercayai dibantu dua lelaki lain yang turut bertindak membeli kad sim dan memotong gari.
“Dua lelaki berumur 36 dan 38 tahun ini ditangkap di Batu Pahat, kira-kira pukul 3 pagi tadi. Seorang daripadanya ada rekod lampau jenayah dan dadah. Turut dirampas, sepasang gari dan pemotong besi,” katanya sambil menambah berkemungkinan akan ada lagi tangkapan baharu dibuat selepas ini. – Bernama
