Merujuk surat pembaca bertajuk Langkah COVID seterusnya? oleh Eye-Eye COVID yang disiarkan dalam Media Permata bertarikh 10 Ogos 2022.
Beliau ada memberikan beberapa pandangan mengenai penambahan pelonggaran langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan seperti melonggarkan mandat penggunaan pelitup muka berikutan kes COVID semakin terkawal di negara ini.
Sehubungan itu, saya amat bersetuju dengan pandangan beliau kerana negara-negara jiran ada yang sudah melonggarkan mandat pemakaian pelitup muka ini. Malah jika dilihat keadaan masa ini sesetengah orang sudah tidak risau dengan penularan wabak ini kerana menganggapnya seperti demam biasa, apa lagi terdapatnya perlindungan daripada vaksin yang diterima.
Namun bukanlah bererti pandangan ini untuk memansuhkan sepenuhnya pemakaian pelitup muka tetapi hanya dimandatkan bagi mereka yang mengalami simptom demam seperti bersin atau batuk untuk menggunakannya terutamanya semasa berada di tempat-tempat awam.
Seperti yang kita ketahui, kita sudah berada di fasa endemik dan bolehlah dikatakan kita sudah menang membendung penularan wabak ini dan mungkin tidak salah untuk kita kembali seperti kehidupan dahulu sebelum berlakunya COVID. Justeru diharap pihak relevan dapat mempertimbangkan pelaksanaannya dalam masa terdekat.
AM
