Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 6 MAC – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $1,000 oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu melonggokkan sampah di sekitar kawasan bengkel dan saliran air longkang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, hari ini, syarikat tersebut dikehendaki menjelaskan kompaun berkenaan dalam masa tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, maka syarkat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $2,000 dan tidak melebihi $10,000. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.