Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Longgokan sampah cemarkan stadium

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Tabiat segelintir penyokong bola sepak yang membuang sampah terutama bekas makanan dan minuman di merata tempat selepas selesai menyaksikan perlawanan malam semalam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah mencerminkan budaya pengotor yang tiada berkesudahan.

    Dalam tinjauan media ke stadium berkenaan hari ini, longgokan plastik-plastik sampah yang sudah penuh masih lagi terbiar di kawasan letak kereta di luar kawasan stadium setakat pukul 2 petang tadi.

    Sampah-sampah juga turut dibuang di tepi-tepi jalan kawasan stadium dan melihat kepada perkara ini, ke manakan perginya sifat rasa tanggungjawab dan peka terhadap menjaga kebersihan dan alam sekitar?

    Mentaliti masyarakat perlu diubah dan jangan hanya bergantung pada perkhidmatan pembersihan semata-mata, ia bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak-pihak berkenaan, tetapi kita juga harus mempunyai rasa tanggungjawab dalam diri untuk tidak membuang sampah merata tempat.

    Bukankah membuang sampah di tempat yang betul adalah perkara asas dan sepatutnya dilakukan oleh semua orang.

    Pengunjung atau penyokong patut memberikan contoh yang baik, tidak kira sama ada kita menang atau kalah, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan tetap menjadi tugas kita dalam sama-sama mengekalkan keindahan negara.

    Jangan biarkan sampah-sampah tersebut terbiar sehinggamenarik perhatian haiwan-haiwan liar yang boleh mencetuskan pelbagai penyakit serta hindarilah sikap tidak bertanggungjawab itu bagi menjaga imej stadium negara.

    Longgokan sampah yang terbiar di kawasan letak kereta stadium. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda