Lonjakan 13 kes baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Negara Brunei Darussalam mencatatkan lonjakan kes tertinggi sehari apabila merekodkan 13 lagi kes baharu COVID-19, lapan daripadanya merupakan jangkitan daripada kumpulan keluarga yang pernah melancong ke Surabaya, Indonesia, menjadikan keseluruhan jangkitan di sini sebanyak 104 kes.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mendedahkan statistik terbaharu itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes 92 merupakan isteri kes 81 yang mula bergejala pada 22 Mac dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Manakala lapan kes hari ini adalah berkaitan dengan kes 91 iaitu kumpulan keluarga yang pernah melancong ke Surabaya, Indonesia dan pulang ke negara ini pada 20 Mac menaiki pesawat BI796 iaitu kes 93 (lelaki), 96 (lelaki), 97 (wanita), 98 (wanita), 99 (lelaki), 100 (lelaki), 102 (wanita) dan 104 (wanita) kesemuanya warga tempatan.

Manakala kes 94 adalah kontak kerja kes 84 yang mula bergejala pada 22 Mac dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes 95 pula adalah isteri kepada kes 90 yang mula bergejala pada 22 Mac dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, manakala kes 101 pula adalah kontak kepada kes 73 dan mula bergejala pada 22 Mac serta tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sidang media, kelmarin.
Pemeriksaan suhu badan oleh salah seorang petugas kesihatan di Hospital RIPAS dalam usaha membendung COVID-19. – Gambar oleh Muiz Matdani

Kes 103 mula bergejala pada 12 Mac dan penyiasatan kontak ini masih dijalankan bagi kes ini.

Beliau memaklumkan kepada orang ramai bahawa daripada 104 kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, seorang masih dalam keadaan kritikal dan masa ini memerlukan mesin bantuan pernafasan dan alat bantuan tambahan iaitu heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, dua orang dalam pemantauan rapi manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

“Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa pada ketika ini seramai 1,388 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 376 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Sejak awal Januari 2020, sebanyak 3,647 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau lagi, setakat ini penempatan bagi mereka yang dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri mandatori berjalan dengan baik dan dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Pembangunan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta agensi-agensi swasta, sektor perhotelan dan pihak sukarelawan.

Status kesihatan mereka yang sedang menjalani pengasingan diri dipantau oleh Kementerian Kesihatan dengan bantuan agensi-agensi berkenaan di mana pada masa ini, Kementerian Kesihatan juga sedang giat melaksanakan secara berperingkat-peringkat ujian makmal COVID-19 mengikut lokasi penempatan.

Berikutan dengan kenyataan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) pada hari Isnin, 23 Mac lalu terhadap semua warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Brunei Darussalam sama ada melalui pos-pos kawalan darat, laut dan udara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, yang mana larangan tersebut, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, adalah juga termasuk bagi warganegara asing yang transit di negara ini.

“Dalam pengumuman yang sama, KHEDN juga ingin merujuk kepada kenyataan, di mana pertimbangan-pertimbangan khas hanya diberikan kepada urusan-urusan yang menyumbang kepada menjaga kepentingan dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Sehubungan dengan ini, mana-mana urusan melalui pos-pos kawalan imigresen, melibatkan syarikat-syarikat pengangkutan yang membawa masuk barangan ke Negara Brunei Darussalam seperti barang-barang asasi termasuk bahan makanan, sayur-sayuran, ikan, bekalan perubatan (medical supplies) dan seumpamanya adalah dikecualikan daripada proses mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

“Dalam masa yang sama, barang-barang yang dibawa masuk hendaklah mematuhi syarat-syarat dan perundangan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan agensi-agensi kerajaan lain yang mengawalnya.

Kemasukan pekerja-pekerja syarikat pengangkutan ini juga hendaklah mematuhi nasihat-nasihat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Sementara itu, merujuk kepada kenyataan media KHEDN pada 18 Mac lalu mengenai larangan sementara bagi premis-premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, medan selera, gerai makan dan seumpamanya untuk menyajikan makanan dan hanya dibenarkan untuk dibawa pulang (take-away), Yang Berhormat Dato menambah bahawa sebagaimana Seksyen 62(A) Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, sesiapa yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang. Larangan itu adalah termasuk rumah-rumah persendirian, sama ada berlesen ataupun tidak, yang memberikan perkhidmatan restoran.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).