Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lontong darat kulinari tarikan buat pelancong

    MERSING – Sebuah kedai makan popular di sini menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar negara apabila sajian signature lontong darat atau lontong kering menerima sambutan luar biasa, sekali gus membawa limpahan rezeki berganda kepada pengusahanya.

    Pemilik kedai, Suriani Hassan, 36, berkata kehadiran pelanggan meningkat pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan menyebabkan mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang mahu merasai keenakan makanan yang terkenal di Johor ini.

    Lontong darat berbeza daripada lontong biasa kerana hidangan ini tidak menggunakan kuah santan, sebaliknya nasi himpit disajikan bersama dengan pelbagai lauk seperti aneka sambal, rendang, kuah kacang dan serunding kelapa.

    “Saya mengambil alih kedai makan milik mentua pada 2010 dan memperkenalkan menu lontong darat sejak lapan tahun lepas, ketika itu tidak ramai peniaga yang menjual menu berasaskan lontong menggunakan konsep set. Jadi, ramai pelanggan yang baru dengar (lontong darat) teruja nak mencuba makanan ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Suriani yang berasal dari Johor Bahru berkata kedainya menawarkan lontong darat dalam set pilihan, iaitu single untuk satu jenis lauk, set kahwin dua, set madu tiga, dan set special dengan empat pilihan lauk antaranya rendang ayam dan daging, sambal paru, sambal telur puyuh, sambal kerang dan sambal sotong.

    Suriani Hassan (kanan) bersama suaminya menunjukkan sajian lontong darat yang menjadi tarikan di kedai tersebut. – Bernama
    Lontong darat berbeza daripada lontong biasa kerana hidangan ini tidak menggunakan kuah santan. – Bernama
    Gambar Bernama

    “Harga bermula daripada RM8 bagi set single hingga RM18 untuk set special. Jika waktu puncak, saya dan suami Hairel Abdul Rahman, 42, akan turun padang bersama-sama membantu pekerja melayan pelanggan,” kata ibu kepada dua anak itu.

    Selain pengunjung tempatan, kedainya turut menjadi persinggahan pelancong dari luar negara antaranya Sweden, Singapura, Indonesia dan Brunei sebelum mereka meneruskan perjalanan ke rangkaian pulau indah di daerah berkenaan.

    “Kami juga menerima kehadiran konvoi bermotosikal dan pengguna jalan raya yang melalui Mersing untuk ke destinasi di Pantai Timur, selain mendapat tempahan daripada agensi kerajaan dan swasta serta pihak istana. Kebanyakan pelanggan mengetahui mengenai lontong darat ini melalui TikTok,” katanya.

    Selain lontong darat, kedai yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12:30 tengah hari setiap hari kecuali Jumaat itu turut menyajikan hidangan lain yang tidak kurang hebat sambutannya seperti soto kaki ayam “letup”, mihun sup, lontong laut, roti canai, kuih tradisional dan nasi lemak berlauk.

    “Saya mahu pelanggan bukan sekadar merasai hidangan yang disediakan, tetapi juga menikmati panorama indah dan suasana tenang di Mersing dengan kepelbagaian makanan Johor. Insya-Allah, kami akan tambah menu baharu termasuk sate pada waktu pagi dan hidangan celup tepung,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda