Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lopez digantung sementara

    PARIS, 26 JULAI – Penunggang basikal Colombia, Miguel Angel Lopez, telah digantung sementara di tengah siasatan penggunaan dadah terlarang, menurut badan pengurusan sukan itu, UCI semalam.

    Lopez sedang disiasat ‘kerana penggunaan dan pemilikan bahan terlarang dalam minggu-minggu menjelang Giro d’Italia 2022,’ kata UCI mengenai keputusannya untuk ‘menggantung sementara penunggang itu sementara menunggu keputusan akhir.’

    Lopez, 29, yang menduduki tempat ketiga dalam Giro d’Italia dan Vuelta pada tahun 2018, sepatutnya mengambil bahagian dalam kejuaraan dunia berbasikal di Glasgow dari 3 hingga 13 Ogos.

    UCI menyatakan keputusan itu diambil setelah bukti yang diperoleh daripada pihak polis di Sepanyol dan Pertubuhan Anti-Doping Kebangsaan Sepanyol.

    Pada Disember lalu, Lopez dipecat oleh pasukan Astana, yang mendakwa dia mempunyai kaitan dengan seorang doktor Sepanyol yang terlibat dalam siasatan doping.

    Miguel Angel Lopez berlumba di kilometer pertama peringkat keempat perlumbaan basikal Giro d’Italia 2022. – AFP

    Dia telah digantung sementara selama seminggu oleh pasukannya selepas ditangkap di lapangan terbang Madrid pada bulan Julai sebelumnya.

    Pemenang Jelajah Switzerland pada tahun 2016 dan Jelajah Catalonia pada tahun 2019 itu, menafikan sebarang kaitan dengan doping.

    Sejak awal 2023, dia telah bersaing untuk pasukan divisyen ketiga, Team Medellin-EPM, memenangi Tour de San Juan di Argentina dan Tour de Colombia, di mana dia memenangi sembilan daripada 10 peringkat.

    Pasukannya menyatakan mereka menghormati keputusan UCI dan menarik balik Lopez dari Jelajah Panama.

    Kenyataan mereka juga menekankan bahawa penunggang itu telah menjalani kawalan antidoping sejak bergabung dengan pasukan mereka dan setiap ujian itu kembali negatif. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda