PARIS, 14 DIS – Pelumba basikal Colombia, Miguel Angel Lopez telah dipecat oleh pasukan Astana, yang menuduh dia mempunyai pertalian dengan doktor dari Sepanyol di tengah-tengah siasatan mengenai kes doping.
Lopez berkata dia akan membawa kes itu ke Kesatuan Berbasikal Antarabangsa dan menyatakan bahawa dia tidak pernah diuji positif atau disiasat kerana doping.
“Encik Miguel Angel Lopez dengan ini memaklumkan bahawa dia akan mempertahankan haknya di hadapan mahkamah berkenaan, dalam kes yang jelas difahaminya sebagai penamatan tanpa sebab yang munasabah,” kata peguam pelumba basikal itu di Twitter.
Pemecatan itu adalah susulan kepada penggantungan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan doktor yang sama, Marcos Maynar, salah seorang daripada enam orang yang disiasat sejak tahun 2021 atas dakwaan mengenai beberapa siri kes doping di Spain.
Pasukan Astana Qazaqstan baru-baru ini berkata, “Mereka telah menemui elemen baharu yang menunjukkan Miguel Angel Lopez mungkin mempunyai kaitan dengan Dr Marcos Maynar.
Oleh sebab itu, pasukan tidak mempunyai pilihan lain melainkan menamatkan kontrak antara pasukan dan pelumba basikal tersebut, berdasarkan pelanggaran kontrak yang berlaku dan peraturan dalaman pasukan, dengan serta-merta.”
Lopez, 28, telah memenangi Tour de France 2020, memenangi kategori pelumba muda terbaik dalam Giro d’Italia 2018 dan 2019 serta menang tempat ketiga dalam kedua-dua Giro dan Vuelta a Espana 2018. – AFP


