Lopez terajui kebangkitan Bucks

LOS ANGELES, 16 Mei – Brook Lopez menjaringkan 29 mata ketika Milwaukee Buck menghasilkan serangan lewat untuk menewaskan Toronto Raptors 108-100 dalam perlawanan pembukaan final NBA Eastern Conference hari ini.

Lopez membantu mencetuskan 10 mata tanpa balas pada tiga minit terakhir ketika Bucks bangkit daripada ketinggalan 100-98 untuk meraih kemenangan penting di depan penyokong sendiri di Fiserv Forum.

Dua lontaran bebas daripada Kawhi Leonard telah memberikan Toronto kelebihan 100-98 ketika masa semakin suntuk.

Tetapi satu dunk Lopez telah memberikan Buck pendahuluan 101-100 dan kemudian satu jaringan 3-mata daripada pemain berusia 31 tahun itu telah memberikan Milwaukee kelebihan empat mata.

Dua lontaran bebas masing-masing daripada Eric Bledsoe dan Khris Middleton melengkapkan jaringan ketika Bucks menghasilkan kemenangan dramatik.

“Ia adalah usaha berpasukan yang lengkap,” kata Lopez, yang menamatkan dengan 11 rebound dan dua assist.

“Kami bermain dengan tenaga yang bagus di sepanjang perlawanan tetapi beberapa percubaan kurang berhasil buat kami. Jadi kami tahu bahawa kami perlu terus menyerang, itu yang kami lakukan sepanjang musim,” tambah Lopez. – AFP

Brook Lopez ketika melakukan dunk sambil cuba dihalang oleh pemain Raptors dalam perlawanan pembukaan final Eastern Conference. – AFP