Friday, April 18, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Loreng dinamika’ ketengahkan karya seni 15 artis tempatan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Karya unik oleh 15 orang artis terkenal Negara Brunei Darussalam dipamerkan dalam pameran seni bertema Loreng Dinamika di Kompleks Membeli-Belah Mabohai bermula hari ini hingga 1 November.

    Pameran yang diadakan di kawasan awam dan Unit 204, kompleks membeli-belah berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Antara artis yang mempamerkan karya mereka semasa pameran itu ialah Pengiran Abdul Wahab Hassan Al-Abbas, Dr Haji Zakaria bin Haji Abdul Hamid, Dato Haji Sofry bin Haji Abdul Gafor, Pengiran Timbang bin Pengiran Haji Tuah, Haji Dayang bin Haji Mutalib dan beberapa yang lain.

    Pengurus Kompleks Membeli-belah Mabohai, Yee-Man Cheng dipetik sebagai berkata, “Kami sangat teruja dan berbesar hati untuk mengadakan Pameran Seni Loreng Dinamika dan berharap agar acara ini dapat memberi inspirasi kepada kreativiti dan imaginasi dalam kalangan seniman muda yang memperkasa mereka untuk pergi melampaui yang biasa.

    “Kami amat mengalu-alukan para pelajar seni dan peminat seni untuk datang dan menyaksikan pameran dan para seniman bekerja. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi acara kami, Astera Events, kerana menganjurkan bersama acara ini dengan Kompleks Membeli-Belah Mabohai,” tambahnya.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Yee-Man Cheng mengongsikan bahawa ia merupakan kali pertama acara sepertinya diadakan di kompleks tersebut.

    “Sebagai penyokong setia seni dan bidang kreatif di Brunei, saya sangat berbesar hati kerana dapat mempamerkan bakat luar biasa seperti yang kita dapat lihat di sekeliling kita hari ini,” ujarnya lagi.

    Selepas merasmikan pameran berkenaan dengan memotong reben, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dibawa melawat menyaksikan karya-karya seni yang
    dipamerkan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memotong reben sebagai tanda pembukaan rasmi pameran tersebut.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dibawa melawat dan menyaksikan pameran-pameran seni yang terdapat di kawasan awam Kompleks Membeli-Belah Mabohai.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda