YOGYAKARTA, 7 MEI – Sebuah lori tanah merempuh sebuah van mini di jalan menuruni bukit di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, meragut 11 orang yang kesemuanya merupakan guru tadika, menurut kenyataan pihak berkuasa hari ini.
Lori tersebut yang sarat dengan bahan binaan, melanggar bas mini sebelum merempuh sebuah rumah di perkampungan Kalijambe, daerah Purworejo.
Bas mini itu membawa sekumpulan guru dari daerah Magelang yang dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian di daerah Purworejo, menurut agensi pengurusan bencana tempatan dalam satu kenyataan.
“Lori itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar bas mini tersebut,” kata Ketua Polis Purworejo, Andry Agustiano. Beliau menambah bahawa pihak polis segera membuka siasatan berhubung kejadian.
Beberapa ambulans membawa mayat serta mangsa yang cedera, termasuk pemandu lori dan pemilik rumah, ke hospital berdekatan.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Indonesia disebabkan oleh standard keselamatan dan infrastruktur yang lemah. – AP
