BERLIN, 12 MAC – Tiga maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah lori tangki minyak dan trem bertembung di sebuah persimpangan di barat daya Jerman, sebelum kedua-dua kenderaan terbakar dalam kejadian petang kelmarin.
Menurut polis, nahas berlaku di Zeutern, perbandaran Ubstadt-Weiher, utara bandar Karlsruhe. Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Lori tangki yang membawa minyak pemanas itu terbakar sejurus perlanggaran, namun kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.
Satu mayat ditemui di bahagian hadapan trem yang rentung, sebelum dua lagi ditemui kemudian. Identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana keadaan mayat yang teruk terbakar.
Ketika kejadian, sekurang-kurangnya 10 penumpang berada dalam trem dan semua mengalami kecederaan ringan. – AP
