JOHANNESBURG, 25 DIS – Sekurang-kurangnya 15 orang maut manakala 40 lagi cedera selepas sebuah lori tangki minyak meletup di Boksburg, sebuah bandar Afrika Selatan di timur Johannesburg, menurut pihak perkhidmatan kecemasan kelmarin.
Lori tangki, yang membawa gas petroleum cecair (LPG), tersekat di bawah sebuah jambatan berhampiran dengan hospital dan perumahan pada pagi kelmarin.
“Kami menerima panggilan pada 0750 memberitahu bahawa sebuah lori tangki tersekat di bawah jambatan. Anggota bomba dikerah untuk memadam kebakaran. Malangnya, lori tangki itu meletup,” kata William Ntladi, seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan di wilayah itu, kepada AFP.
Salah seorang mangsa yang tercedera merupakan pemandu telah dibawa ke hospital, katanya.
Dia menambah jumlah kematian meningkat kepada 15 orang daripada laporan sebelumnya.
Kira-kira separuh daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius, manakala 15 lagi cedera parah namun dalam keadaan stabil.
Selain itu, enam orang anggota bomba turut mengalami kecederaan ringan, kata Ntladi.
Video yang tular di media sosial menunjukkan bebola api besar keluar dari bawah jambatan, di mana lori tangki itu dilihat terlalu tinggi untuk melintasinya.
Ia membawa kira-kira 60,000 liter gas LPG, kebiasaannya digunakan untuk memasak dan dapur gas, dan lori itu membuat perjalanan dari tenggara negara itu.
Seorang saksi kejadian, Jean Marie Booysen menyifatkan kejadian itu ‘satu kejutan besar’ pada waktu awal pagi, selepas pukul 6:30 pagi.
“Saya pergi ke tingkat atas untuk bersarapan dan kemudian melihat api besar, mulanya saya fikir ia adalah kebakaran rumah.” – AFP



