Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lori tangki untuk tambah eksport minyak

    OTTAWA, 29 Nov – Wilayah Kanada yang kaya dengan minyak, Alberta, mengumumkan semalam ia akan membeli lori tangki untuk menambah eksport minyak sebanyak 120,000 tong sehari, tatkala bantahan alam sekitar menangguhkan pembinaan saluran paip baharu.

    Wilayah itu terletak di kawasan simpanan minyak ketiga terbesar di dunia.

    Namun projek untuk mendapatkan pengeluaran tambahan ke kilang penapis pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) atau ke Pasifik untuk dihantar ke luar negara telah menemui kebuntuan di tengah pertarungan perundangan dan pengawalan yang sengit.

    Perdana Menteri Alberta Rachel Notley berkata dalam satu ucapan pada majlis makan tengah hari Kelab Kanada di Ottawa bahawa beliau berharap dapat memeterai satu perjanjian untuk membeli lori tangki ‘dalam masa beberapa minggu’.

    Kereta baharu yang diisi dengan minyak mentah akan mulai beroperasi pada akhir tahun 2019, kata beliau.

    Menurut media tempatan, Alberta sedang mempertimbangkan untuk membeli 1,000 lori tangki, dengan harga kira-kira AS$2.3 bilion.

    Notley mendapati pengeluaran minyak Alberta telah meningkat dalam beberapa tahun ini yang menjangka pembinaan saluran paip minyak baharu, tetapi disebabkan penangguhan pembinaan, sekarang ia mempunyai lebihan 250,000 tong sehari yang tidak disalurkan ke tempat lain.

    Beliau menyalahkan kemelesetan ini pada pengurangan minyak Kanada, yang dijual pada AS$10 satu tong semalam, berbanding dengan kira-kira AS$50 untuk minyak West Texas Intermediate.

    “Kami tidak dapat menampung harga AS$10 satu tong untuk minyak Kanada Barat,” menurut beliau. “Dan ia tidak akan diselesaikan sehingga kami kembali kepada sistem pengangkutan lori tangki.”

    Ekonomi Kanada sedang mengalami kerugian AS$80 juta Kanada sehari disebabkan perbezaan harga, kata beliau.

    Kanada buat masa sekarang menghasilkan kira-kira 4.8 juta tong minyak sehari, kebanyakannya minyak berat daripada pasir minyak Alberta.

    Dalam masa dua tahun lalu, kerajaan Perdana Menteri Justin Trudeau telah meluluskan pembinaan saluran paip utama ke Pasifik dan beberapa saluran yang lebih kecil, dan menolak satu lagi saluran ke pantai barat, sementara satu cadangan untuk pembinaan saluran dari Alberta ke kilang penapis pantai Atlantik ditinggalkan selepas bantahan kuat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda