Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lorong berliku diubah jadi galeri seni

    SHIRAZ, IRAN – Di lorong-lorong berliku di selatan Iran, artis Adel Yazdi telah menggalas tanggungjawab untuk mengubah kawasan kejiranan lama desanya menjadi hab budaya dan pelancongan melalui lukisan-lukisan warna terang dan wajah ukiran timbul.

    Narenjestan, kawasan kejiranan yang dicirikan oleh rumah yang usang, hancur berderai dimakan usia dan tidak berpenghuni, terletak di Shiraz, sebuah bandar selatan yang terkenal dengan seni bina bersejarah, taman hijau dan penyair yang dihormati.

    “Kebanyakan dinding usang di Shiraz lama tidak mempunyai nilai sejarah,” kata Yazdi, seorang artis berusia 40 tahun berjanggut lebat dan berkaca mata yang telah mendedikasikan dirinya untuk menghidupkan semula Narenjestan.

    Yazdi sejak beberapa tahun lalu telah mengubah dinding bangunan kejiranan yang telah lama diabaikan menjadi pemandangan warna-warni yang jelas ‘menceritakan kisah penduduk yang tinggal di sini,’ katanya.

    Corak arabes atau awan larat dan wajah ukiran timbul yang diukir dengan perincian yang rumit dan dicat dalam pelbagai warna terang hijau, merah jambu, biru dan ungu kini menghiasi dinding-dinding berkenaan.

    Dengan reka bentuk yang menarik dan warna-warna cerah, seni Yazdi boleh mengingatkan kepada surrealisme. Ia sering kali kelihatan mengejutkan, mempamerkan sisi berbeza warisan seni Iran yang melangkaui tumpuan konvensional pada seni bina Parsi atau Islam.

    Seorang kanak-kanak dalam pakaian tradisional berdiri berdekatan ukiran timbul oleh Adel Yazdi, yang dipamerkan di tembok di bandar tengah Iran. – AFP
    Adel Yazdi menunjukkan skarf bercorak di bengkelnya di Iran. – AFP
    Adel Yazdi melukis di bengkelnya di tengah bandar Iran. – AFP
    Pelawat melihat karya seni dalam bengkel Adel Yazdi. – AFP

    SENSASI MEDIA SOSIAL

    Karya seni itu termasuk wajah Scheherazade, kata Yazdi, merujuk kepada tukang cerita atau penglipur lara legenda daripada koleksi cerita rakyat ‘Seribu Satu Malam’.

    Karya Yazdi amat menonjol di Shiraz di mana grafiti dan mural jarang ditemui, sekali gus menjadi sensasi media sosial dan tarikan pelancong.

    Seorang pengunjung, Mahdieh, menemui mural Yazdi melalui Instagram.

    “Saya tiba di Shiraz semalam… dan ia adalah lokasi pertama yang ingin saya lawati,” kata lelaki berusia 40 tahun itu yang enggan memberikan nama keluarganya.

    Di hujung satu lorong, Yazdi telah mendirikan bengkelnya dalam bangunan berusia berabad-abad dengan bilik-bilik kecil mengelilingi taman yang tenang.

    Dia juga tinggal di bangunan itu, dengan gaya seni bina tradisional Parsi.

    Ia dipenuhi dengan artifak dan arca, menyerupai sebuah gudang muzium. Replika pintu masjid Muslim Syiah menonjol dalam karya seni tersebut.

    Bagi Maedah, seorang jurutera berusia 30 tahun, rumah Yazdi mengingatkan tentang ‘tempat bersejarah lain di bandar, seperti Taman Eram dan Makam Penyair Hafez’.

    Yazdi berkata dia mendapat inspirasi daripada Pusat Pompidou di Paris, hab budaya yang mengubah pusat ibu negara Perancis pada tahun 1970an.

    Dia berharap usahanya dapat mengubah lorong-lorong Shiraz menjadi pusat kebudayaan yang lebih meriah juga.

    Di kediamannya, pengunjung-pengunjung yang datang sangat tertarik dengan apa yang Yazdi panggil ‘Bilik Jari.’

    Di dalamnya, dia memasang sekitar 14,000 arca jari di siling, semuanya menghala ke bawah.

    “Bilik itu diilhamkan daripada legenda malaikat yang mengira titisan hujan dengan ribuan jari,” katanya merujuk kepada kisah dongeng Islam.

    “Jari-jari berkenaan sentiasa ada untuk mengingatkan kita bahawa masa adalah berharga dan kita mesti merebutnya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda