HANOI – Pelancong segera menarik tangan dan kaki mereka daripada sebuah kereta api yang lalu di Hanoi, berundur masuk ke kafe-kafe tepi landasan yang telah membawa keuntungan lumayan kepada bekas kawasan setinggan yang sebelum ini dipandang rendah oleh kerajaan.
Pihak berkuasa telah berulang kali cuba menutup kawasan usang di ibu kota Vietnam itu atas faktor keselamatan, namun sebarang penutupan kelihatan tidak mungkin kerana media sosial terus membawa lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.
“Saya rasa adrenalin kerana (kereta api) itu begitu dekat,” kata Helena Bizonova dari Slovakia kepada AFP, berdiri hanya beberapa inci dari lokomotif era kolonial yang bergerak perlahan pada kelajuan 10 kilometer sejam.
Landasan yang dihiasi tanglung bersama kafe-kafe elegan yang berderet di sepanjang landsan terkenal di alam maya dan merupakan ‘sesuatu yang tidak akan saya alami lagi dalam hidup ini,’ katanya kepada AFP.
Bekas penjajah Perancis membina landasan kereta api itu pada awal 1900an untuk mengangkut barangan dan penumpang merentasi negara tersebut, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Indochina Perancis bersama Laos dan Kemboja.




Sebahagian laluan itu rosak teruk ketika bom Amerika Syarikat gugur di utara Vietnam yang dikuasai komunis sewaktu Perang Vietnam, yang berakhir setengah abad lalu.
Kini, Vietnam berharap dapat membina landasan kereta api laju bernilai AS$67 bilion yang menghubungkan utara dan selatan, sebagai rangsangan yang amat diperlukan untuk infrastruktur yang dijangka memacu pertumbuhan.
Namun, Vietnam Railways Corporation milik kerajaan masih menguruskan landasan lama dan kurang maju itu, yang kekal sebagai mod pengangkutan bagi pelancong bajet.
‘LEBIH BERSIH, LEBIH CANTIK DAN LEBIH SELAMAT’
‘Jalan kereta api’ serupa di Thailand dan Taiwan turut menarik ribuan pelancong yang teruja dengan pengalaman melompat ke tepi ketika lokomotif melalui kawasan sesak.
Dahulu terkenal sebagai kawasan gelap yang sering dikunjungi penagih dadah dan penghuni haram, regangan landasan di Hanoi kini menawarkan peluang perniagaan kepada pengusaha kafe yang bijak mengambil kesempatan.
Seorang pemilik kafe yang enggan dikenali berkata pelancongan telah mengubah kawasan itu menjadi ‘tempat yang lebih bersih, lebih cantik dan lebih selamat,’ sambil menolak usaha untuk menutupnya.
“Kita tidak seharusnya cuba menutup lorong-lorong ini, sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya dan menjadikannya ciri istimewa bagi mempromosikan pelancongan,” katanya kepada AFP dari kafenya yang dihiasi bendera Vietnam.
Apabila sebuah kereta api merah mula kelihatan, semua orang di jalan kecil itu segera mengosongkan landasan, masuk ke kafe bersebelahan dan mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam pemandangan.
Kakitangan kafe memberi amaran kepada pengunjung supaya memberi laluan, sesuatu yang meyakinkan pelancong seperti Maria Morikova dari Slovakia.
“Ia tidak berbahaya,” katanya.
“Mereka sudah menyediakan jalan untuknya. Mereka memberitahu dengan tegas di mana awda sepatutnya berdiri.”
Seorang pengunjung tempatan, Nguyen Le Trang dari Delta Mekong selatan, menyifatkan jalan itu sebagai ‘satu-satunya tarikan pelancongan unik di Hanoi,’ sambil menambah pihak berkuasa tidak seharusnya menutupnya. – AFP

