Louboutin: Kasut tumit tinggi bebaskan wanita

PARIS – Kasut tumit amat tinggi boleh membebaskan wanita, kata pereka kasut legenda Perancis, Christian Louboutin, yang menegaskan memakai kasut tumit tinggi enam inci merupakan satu ‘lambang kebebasan.’

Sementara beberapa penyokong gerakan kewanitaan melihat tumit menggayatkan sebagai penghambaan seksual, Louboutin percaya sebaliknya – walaupun jika ia bermakna wanita perlu berjalan dengan perlahan dan hati-hati dalam hasil ciptaan kasut ikonik dengan tapak kasut merah.

“Wanita tidak mahu berhenti memakai kasut tumit tinggi,” beritahu pereka fesyen itu kepada AFP sebelum pameran ‘The Exhibitionist,’ pameran tinjau balik kerja beliau selama 30 tahun, dibuka di muzium Paris pada Rabu.

Sementara Louboutin juga mereka kasut getah dan kasut tumit rendah, beliau mengaku apabila ia membabitkan kasut klasik bertumit tinggi yang menjadikan namanya amat popular: “Saya tidak memikirkan keselesaan apabila saya mencipta kasut saya.”

“Tidak ada kasut dengan tumit 12sm rasa selesa…namun orang tidak datang kepada saya mencari sepasang selipar,” kata Louboutin, yang membantu mengembalikan semula fesyen kasut tumit tinggi pada tahun 1990 dan 2000.

Christian Louboutin bergambar dengan salah satu hasil ciptaannya semasa sesi gambar di Palais de la Porte di Paris. – AFP
Pereka kasut Perancis Christian Louboutin semasa sesi gambar di Palais de la Porte Doree di Paris beberapa hari sebelum pembukaan pameran ‘L’Exhibition-iste’ yang berlangsung dari 26 Februari hingga 26 Julai 2020. – AFP

Ia bukan direka untuk dipakai sepanjang masa, namun tumit amat tinggi membolehkan wanita melahirkan perasaan mereka dan melepaskan diri daripada norma-norma yang menghancurkan, kata beliau.

“Untuk menjadi seorang wanita juga mengenai rasa seronok menikmati kebebasan untuk bersikap feminin jika anda mahu. Kenapa menolak kasut tumit tinggi apabila anda boleh memilikinya,” kata beliau.

“Saya tidak mahu orang melihat pada kasut saya dan berkata: ‘Ia benar-benar nampak selesa!’ Apa yang penting adalah orang berkata: ‘Wow, ia adalah cantik!’”

Walaupun jika mereka hanya berjalan terhuyung-hayang dalam kasut Louboutin, ia bukan perkara teruk, beritahunya kepada AFP.

Jika kasut ‘menghentikan anda daripada berlari”, maka ia adalah sesuatu yang ‘positif,’ tambah beliau.

Setelah mempelajari kemahirannya di bawah bimbingan Roger Vivier, lelaki yang mendakwa telah mencipta kasut tumit tinggi, Louboutin menjadi nama sebutan ramai pada tahun 1990 selepas Puteri Monaco Caroline jatuh hati pada salah satu hasil rekaan solo beliau.

Bintang pop dari Madonna kepada Tina Turner dan Jennifer Lopez bersaing dengan separuh bintang Hollywood untuk mendapatkan kasut beliau.

Walaupun sesetengah jenama mewah seperti Dior, dipimpin oleh pereka feminis Maria Grazia Chiuri, telah berhenti mengeluarkan kasut tumit tinggi, Louboutin menegaskan ia masih popular.

“Orang menggambarkan diri mereka dan kisah mereka dalam kasut saya,” kata beliau, menuding kepada sepasang but berenda tumit tinggi dipanggil Corset d’Amour, disulam dengan gambar sepasang kekasih dilamun cinta.

Louboutin mendedahkan minatnya yang amat terpesona dengan kasut tumit tinggi bermula ketika beliau berusia 10 tahun dan melihat satu tanda mengharamkan kasut di Palais de la Porte Doree – muzium yang kini menganjur pameran tinjau balik kerjaya beliau.

“Saya mula melukis mereka kasut disebabkan tanda tersebut,” kata beliau, yang didirikan untuk menyelamat lantai parket muzium.

“Saya fikir kasut tumit tinggi diharamkan bukan sahaja berat sebelah..terdapat juga misteri dan isu obsesi…lukisan kasut tumit tinggi sering kali dikaitkan dengan keseksualan,” tambah beliau.

Louboutin juga menjelaskan tanda tersebut mendo-rong beliau menjerumus dalam ‘alam semesta lengkung’ yang membentuk seni beliau.

Dan beliau menegaskan ia adalah seni dan bukan hanya mengenai usaha menghasilkan tumit lebih tinggi.

Beliau juga telah berusaha membuat kasutnya lenyap dalam kaki pemakai dalam satu siri yang digelar oleh beliau sebagai Les Nudes – dalam pelbagai warna kulit – serta reka bentuk yang menjadikan kaki lebih panjang.

Acara kemuncak lain dalam pameran, yang berlangsung sehingga 28 Julai, termasuk satu hologram kasut yang dipakai oleh bintang Dita Von Teese serta beberapa siri gambar pelakon yang memakai kasut Louboutin yang difilemkan oleh pengarah filem Amerika, David Lynch.

Louboutin berasa gembira kerana kasutnya kini telah menjadi amat ikonik sehingga namanya telah menjadi lambang ringkas untuk kemewahan dan seksi, muncul dalam lagu rap, filem malah buku.

“Budaya pop tidak dapat dikawal mahupun terkawal, maka saya berasa gembira dengannya,” tambahnya. – AFP